Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 28 OGOS 2026.

KUALA LUMPUR – UMNO bersetuju agar kepimpinan negeri melakukan perbincangan dan perundingan dengan parti-parti politik yang mahu bekerjasama dalam menghadapi pilihan raya akan datang.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Dusuki berkata, sebarang rundingan dengan mana-mana parti untuk menjalinkan kerjasama itu mesti berteraskan keikhlasan dan kepercayaan.

Tegas beliau, ia bukan atas sebab ugutan atau gertakan.

“UMNO mengambil maklum pelbagai dapatan kajian empirikal yang dilakukan oleh pelbagai agensi dan penyelidik dalam kalangan ahli akademik yang menjurus kepada sentimen rakyat.

“Terutamanya orang Melayu yang mengharapkan penyatuan ummah dapat direalisasikan dan kepentingan serta kedudukan Melayu menjadi teras kepada kestabilan politik negara,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat MKT UMNO di sini malam tadi.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 28 OGOS 2026.

 

Mengulas penahanan pemimpin UMNO, Asyraf Wajdi menjelaskan, UMNO berpegang prinsip kedaulatan undang-undang yang mesti sentiasa dihormati dan dijunjung.

Katanya, seseorang tidak boleh dianggap bersalah selagi beliau tidak dibicarakan dan disabitkan kesalahannya berlandaskan undang-undang yang berkuat kuasa.

Menurut beliau, sebarang tindakan untuk memalukan atau menghina seseorang termasuk membentuk persepsi seolah-olah individu yang baru ditahan bagi tujuan siasatan telah pun bersalah adalah bertentangan dengan prinsip keadilan serta semangat kedaulatan undang-undang.

“UMNO konsisten bahawa parti tidak akan berkompromi mempertahankan sebarang salah laku, penyelewengan atau penyimpangan yang dilakukan oleh mana-mana pihak termasuk ahli dan kepimpinan parti yang wajib dihadapkan ke muka pengadilan melalui proses undang-undang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here