RIYADH – Liga Dunia Islam (MWL) komited untuk memperkukuh kerjasama dengan Malaysia dalam menangani isu terorisme, kata Setiausaha Agungnya, Dr Mohammad Abdul Karim Al-Issa.
Al-Issa berkata, kerjasama itu akan tertumpu kepada perkongsian kepakaran deradikalisasi dan memerangi ancaman pemikiran terorisme.
“Kumpulan pengganas sering memburukkan imej agama Islam dan mengancam keselamatan Islam dan penganutnya.
“MWL dan Malaysia menerusi pejabat Menteri Hal Ehwal Agamanya akan meneruskan kerjasama memerangi golongan ini bagi memastikan imej Islam dapat dijaga dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media Malaysia selepas pertemuan empat mata dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di pejabat MWL di sini pada Sabtu.
Dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira satu jam itu, mereka turut berbincang tentang kerjasama hal ehwal Islam yang menumpukan pelbagai aspek termasuk dakwah serta saling bertukar pandangan dan pengalaman di antara kedua-dua pihak.
Al-Issa turut memuji Malaysia dalam menguruskan keharmonian agama dan pelbagai etnik serta melihat ia mampu menjadi contoh kepada negara lain.
MWL yang ditubuhkan pada 1962 merupakan sebuah badan bukan kerajaan Islam yang berpangkalan di Makkah, berperanan memperjelaskan mesej sebenar Islam dengan nilai-nilai kesederhanaan, keamanan dan toleransi.
Sementara itu, Zulkifli berkata, kerjasama dengan MWL selaras dengan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika kunjungannya ke Arab Saudi Mac lepas.
“Saya lihat hubungan Malaysia dan WML sudah begitu lama…hampir setiap tahun kita hantar para mufti, pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan dan tokoh ulama untuk menyertai muktamar yang dianjurkan mereka.
“Apa yang saya lihat dalam pertemuan ini ialah satu bentuk kerjasama yang mungkin dapat kita lakukan dengan lebih tersusun terutama bantuan kepada mereka yang memerlukan, selain dakwah dan manhaj wasatiyah,” katanya. – Bernama