Bergson Da Silva. Foto Ihsan MFL.

KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) kekal menerajui Liga Super selepas menewaskan Petaling Jaya City FC (PJ City FC) 3-0 pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, di Iskandar Puteri, malam tadi.

Kemenangan itu membolehkan skuad Harimau Selatan mengumpul 20 mata selepas melakar enam kemenangan dan dua keputusan seri serta menjarakkan empat mata dengan pencabar terdekat Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang ditewaskan Terengganu FC (TFC) 1-2 pada aksi di Stadium Darul Aman, kelmarin.

Sementara itu, Selangor FC pula menebus kekecewaan tewas kepada Kedah Darul Aman FC, Selasa lalu apabila menundukkan Perak FC 3-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ)

Penjaring terbanyak Liga Super musim lalu, Ifedayo Olusegun membuktikan sentuhannya masih berbisa apabila meledak hatrik buat Red Giants.

Di Stadium UiTM Shah Alam, sentuhan pertama Reduan Abdullah tidak menjadi apabila UiTM FC  tumbang 0-3 di tangan Melaka United (MU)

Jelas pertukaran jurulatih selepas Frank Bernhardt direhatkan tidak mencukupi untuk mengubah nasib UiTM FC yang kecundang buat kali ketujuh musim ini.

Sri Pahang FC terus dirundung malang apabila tewas buat kali kelima musim ini selepas tumbang 2-1 di tangan KL City FC pada aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Gol daripada setiap babak oleh KL City FC sudah cukup untuk memberikan mereka tiga mata berharga selepas mengharungi rentetan tiga perlawanan tanpa sebarang kemenangan.

Keputusan itu juga pasti memberi lebih tekanan kepada Dollah Salleh selepas skuad Tok Gajah kini menghuni zon penyingkiran dengan hanya lima mata daripada lapan perlawanan. – MalaysiaGazette