Dalang utama macau scam, Goh Leong Yeong atau dikenali Alvin Goh diiring ketat pegawai penjara untuk dituduh atas kesalahan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 12 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Pengarah syarikat telekomunikasi, Goh Leong Yeong dan adik lelakinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tujuh pertuduhan terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram berjumlah RM2.14 juta sejak 2019.

Leong Yeong atau lebih dikenali sebagai Alvin Goh, 32, dan adiknya, Goh Yeong Hui, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.

Mengikut pertuduhan, mereka sebagai Pengarah Syarikat Malaysia House of Internet Sdn Bhd didakwa menerima wang hasil aktiviti haram daripada dua individu iaitu Wang Hangang dan Feng Chuang melalui akaun syarikatnya dengan jumlah keseluruhan RM2.14 juta.

Aktiviti haram itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Jalan Bukit Bintang di sini, antara 9 Oktober 2019 sehingga 5 November 2019.

Pertuduhan dibuat mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dibaca bersama Subseksyen 87(1)(a) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Lee Keng Fatt menawarkan jaminan RM300,000 dengan tertuduh pernah melarikan diri sehingga diburu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) beberapa minggu dan ditangkap semula sebelum ini.

“Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pula ada mengeluarkan kenyataan mencari OKT kedua (Yeong Hui) pada 5 November 2020 selepas gagal dikesan untuk pertuduhan di Mahkamah Semenyih,” katanya.

Peguam Jacky Loi pula memohon jaminan RM30,000 terhadap kedua-dua anak guamnya.

Leong Yeong turut merayu jaminan direndahkan kerana akaun syarikatnya dibekukan oleh pihak berkuasa bagi kes berkenaan.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM200,000 dengan seorang penjamin selain Yeong Hui perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Mahkamah turut menetapkan 24 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette