Gambar Hiasan.

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang akan memantau semua lokasi bazar Ramadan bagi memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan wabak Covid-19.

Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Pulau Pinang, Superintendan Izwan Abd Karim berkata, pasukan pemantau polis akan melakukan pemantauan secara berkala di semua bazar Ramadan membabitkan lima daerah di negeri itu.

“Bagaimanapun, bagi memastikan operasi bazar Ramadan terkawal khidmat pengawasan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) digunakan di semua bazar Ramadan.

“Semua bazar Ramadan dalam lima daerah Pulau Pinang tidak akan terlepas dari pantauan pihak polis walaupun ia dibuat secara berkala.

“Kita harap orang awam serta peniaga mematuhi SOP yang ditetapkan memandangkan kerajaan sudah beri kelonggaran membenarkan bazar Ramadan dibuka tahun ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Majlis Bandaraya Pulau Pinang dalam satu kenyataan sebelum ini membenarkan bazar Ramadan di negeri itu beroperasi dari jam 3 petang hingga 7.30 malam.

Manakala bagi pasar malam menjelang Aidilfitri pula dibenarkan beroperasi bermula jam 10 malam hingga 12 tengah malam namun tertakluk kepada perubahan yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan (KKM). – MalaysiaGazette