Pelbagai menu biasanya ditawarkan oleh hotel atau restoran kepada pelanggan-pelanggan untuk juadah berbuka puasa. Gambar hiasan
TINGGAL sehari lagi menjelangnya satu bulan yang penuh dengan keberkatan buat semua umat islam. Bulan Ramadan adalah bulan yang disyariatkan ibadah puasa selama sebulan yang pastinya mengandungi pelbagai hikmah. Bulan Ramadan juga adalah bulan yang sangat dinantikan kerana di bulan ini melatih setiap umat Islam menjadi insan yang terbaik dalam segenap segi.

Seperti mana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa”.

Umumnya, umat Islam di Malaysia sangat meriah dengan suasana bulan Ramadan, bermula dengan ibadah berbuka puasa di masjid, bertarawih bersama-sama dan dan tidak ketinggalan juga kemeriahan para peniaga bazar ramadan yang menyediakan pelbagai juadah berbuka.

Namun begitu, suasana pandemik Covid-19 tahun lepas, merencatkan suasana kemeriahan ini, bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia. Namun, saya pasti dalam suasana pandemik ini, kemeriahan ibadah berpuasa tetap diteruskan seisi keluarga di rumah dengan cara tersendiri seperti  mencuba pelbagai resepi baru masakan serta solat terawih dilakukan secara berjemaah di rumah sahaja.

Bulan pemakanan Malaysia dan Ramadan

Sementara itu, bulan April juga adalah Bulan Pemakanan Malaysia serentak dengan ketibaan bulan Ramadan tahun ini, suka untuk saya mengupas dan mengaitkan sudut ibadah puasa ini dengan merungkai dari sudut pemakanan sihat.

Sesuai dengan tema Bulan Pemakanan Malaysia pada tahun ini, Pemakanan Sihat: Kunci Memerangi Ancaman penyakit.

Antara persoalan yang boleh kita sama fikirkan. Adakah apabila tiba bulan puasa, ianya turut bertukar menjadi pesta makanan? Atau kita benar-benar memaknai takrifan puasa itu sendiri iaitu menahan nafsu dan mendapat manfaat kesihatan (selain mendapat dari sudut spiritual kehambaan kita kepada Allah) daripada puasa setelah keluarnya dari bulan Ramadan nanti? Atau kita tenggelam dengan kerterujaan dengan pelbagai juadah sehingga berlaku pembaziran dan sebagainya?

Pada Januari 2020, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memperkenalkan Piramid Makanan Malaysia 2020. Piramid Makanan yang baharu ini merupakan semakan semula kepada Piramid Makanan 2010, iaitu berlaku perubahan besar dasar piramid iaitu kumpulan makanan sayur-sayuran dan buah-buahan diletakkan pada dasar piramid, berbanding Piramid Makanan Malaysia 2010 yang meletakkan makanan sumber karbohidrat di aras bawah.

Ini bermakna, sayur-sayuran dan buah-buahan perlu diambil dengan jumlah yang paling banyak berbanding kumpulan makanan lain. Ini juga bertepatan dengan hasil kajian menunjukkan Laporan NHMS 2019, 94.9% rakyat Malaysia tidak mengambil sayur dan buah yang mencukupi.

Namun begitu, konsep Pinggan Sihat Malaysia telah lama juga dilancarkan, iaitu pada tahun 2016 sebagai konsep mudah untuk mendidik rakyat Malaysia dalam mengamalkan konsep diet sihat. Konsep Pinggan Sihat Malaysia ini menekankan pendekatan konsep suku-suku-separuh dalam mengambil jumlah makanan bagi setiap kumpulan makanan.

Separuh pinggan ini juga merupakan kumpulan makanan sayur-sayuran dan buah-buahan. Konsep ini juga bertepatan dengan perubahan Piramid Makanan Malaysia 2020 yang baharu.

Bertepatan dengan bulan Ramadan yang bakal tiba dan bulan April 2021 ini sebagai Bulan Pemakanan Sihat, hadith berikut sangat bermakna dan bertepatan untuk kita sama-sama renungkan. Hadith Rasulullah SAW;
Tidak ada ruang yang diisi oleh manusia yang lebih buruk daripada perutnya, cukuplah baginya memakan beberapa suapan sekadar dapat menegakkan tulang punggungnya (memberikan tenaga). Jika tidak mampu, maka ia dapat memenuhkan perutnya dengan sepertiga makanan, sepertiga minuman dan sepertiga lagi untuk nafasnya. (Hadis riwayat Ahmad).

Sejajar dengan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia ke arah masyarakat yang lebih sihat dan bebas penyakit, dan mengambil keberkatan bulan puasa di bulan Ramadan, ini adalah masa yang terbaik untuk kita sama-sama memaknai dan renungkan maksud pemakanan sihat.

Terdapat lima tips penting yang boleh saya rumuskan bagi memupuk pemakanan sihat dan kekal berstamina sempena bulan Ramadan ini, ialah seperti, senaraikan BIG WHY iaitu azam ramadan pada tahun ini secara khusus bab pemakanan untuk sebulan. Rancang dan jadualkan jenis makanan atau masakan apa yang kita boleh ubah ke arah yang lebih sihat, sesuai dengan selera seisi keluarga serta untuk mengelakkan pembaziran.

Selain itu, senaraikan menu sihat yang bertepatan dengan Piramid Makanan 2020 atau Konsep Pinggan Sihat Malaysia untuk tiga waktu utama iaitu waktu bersahur, berbuka dan moreh dengan, separuh pinggan untuk pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan, suku pinggan untuk kumpulan protein yang dimasak dengan kaedah masakan sihat iaitu mengukus, membakar, merenih, memanggang atau menumis dan suku pinggan untuk kumpulan karbohidrat yang tinggi serat.

Tidak dilupakan pengambilan air kosong secukupnya iaitu sebanyak satu gelas untuk lapan waktu iait selepas bangun sahur, selepas sahur, selepas azan maghrib, selepas solat maghrib, selepas berbuka, selepas solat isyak, selepas solat terawih, dan sebelum tidur.

Elakkan minuman berkafein ketika bersahur. Ini kerana minuman berkafein bersifat deuretik yang akan membuatkan kita akan berasa lebih cepat haus dan menyebabkan anda kencing lebih kerap. Ini akan mengurangkan kandungan cecair dalam badan dan membuat badan semakin lesu ketika berpuasa di siang hari.

Elakkan minuman bergula tinggi, jika teringin, memadai hanya sekadarnya separuh gelas iaitu selepas menikmati hidangan pinggan sihat ketika waktu berbuka.

Seterusnya, untuk hidangan moreh atau snek antara selepas berbuka dan ibadah terawih, pilih makanan yang kurang gula, kurang lemak dan kurang garam.

Akhir sekali dari aspek kecergasan pula, senaman ringan seperti briskwalk atau berjalan di dalam rumah selama 30 minit sebelum berbuka serta senaman regangan selepas terawih atau selepas sahur antara yang mudah dan praktikal yang boleh diamalkan untuk memastikan otot-otot kita kekal berfungsi bagi menjalankan ibadah  terawih dan qiyamulail yang memerlukan kekuatan fizikal.

Semoga dengan kehadiran bulan Ramadan ini dapat memupuk diri kita ke arah yang lebih sihat dan mengubah tabiat pemakanan kita ke arah yang lebih sihat, bukan dipenuhi dengan nafsu semata-mata. Rebutlah bulan ini dengan memohon keberkatan kepada Allah swt supaya kita menjadi hamba yang lebih bertaqwa dan terbaik dari semua sudut; jasmani, emosi, rohani, serta intelek. Sama-sama kita renungi firman Allah dari surah al-A’araf ayat 31 yang bermaksud “…makanlah serta minumlah dan jangan kamu melampau, sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang melampaui batas”. 

OLEH : Nurul Aizat Ariffin
(Mantan Jurulatih Utama Daerah,Program C-HAT, KKM 2019)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast