Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke mahkamah bagi kes rayuan sambungan kes penyelewangan dana SRC International Sdn Bhd di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto SHAFIY ZUL, 13 APRIL 2021.

PUTRAJAYA – Pasukan bela yang diketuai oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah selesai menggulung hujah rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM42 juta yang melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Penggulungan itu selesai selepas enam hari berhujah diakhiri peguam bela, Farhan Read di hadapan tiga panel hakim diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Pasukan peguam Najib dibenarkan berhujah selama empat hari sebelum pasukan pendakwaan melakukan hujah balas yang mengambil masa tambahan selama dua hari.

SRC International merupakan syarikat subsidiari 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada 28 Julai tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta setelah mendapati Najib bersalah.

Najib didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram serta menyalahgunakan kedudukan melibatkan wang milik SRC.  

Antara yang disentuh dalam hujah itu ialah mempersoalkan sikap Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mempunyai keinginan untuk menyabitkan Najib dalam semua pertuduhan.

Najib juga didakwa menjadi mangsa pendakwaan terpilih sedangkan bekas Perdana Menteri itu tidak mempunyai kepentingan dalam SRC.

Tiga panel hakim diberitahu bahawa sebahagian besar pinjaman RM4 bilion kepada SRC oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) mungkin boleh lesap namun tiada laporan polis dibuat dan Najib tidak tahu tentangnya.

Mahkamah Rayuan juga diberitahu Najib tidak tahu wang dalam akaun bank beliau dipindah masuk daripada SRC.

Pasukan pembelaan menyatakan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low adalah orang yang memindahkan wang daripada SRC ke dalam akaun Najib tanpa pengetahuannya.

Pasukan pendakwaan dijangka mengemukakan hujah balas esok. – MalaysiaGazette