Pelbagai jenis Ikan dijual di Gerai Bakar Segar Nur Iman Bayu di Bazar Ramadan Bandar Sri Permaisuri, Cheras

KUALA LUMPUR – Menu ikan bakar segar bersama sos pencicah yang enak pasti membuka selera tatkala berbuka puasa bersama keluarga.

Bagi warga Cheras dan kawasan sekitar yang teringin untuk menikmati menu tersebut boleh singgah ke gerai Nur Iman Bayu di Bazar Ramadan Bandar Sri Permaisuri.

Pemilik gerai, Tommy Tang, 45, berkata, terdapat 18 jenis ikan laut segar yang boleh dipilih mengikut citarasa pelanggan.

Menurut Tommy yang berasal dari Sabah, antara jenis-jenis ikan yang sering mendapat permintaan yang tinggi seperti merah, jenahak, pari dan juga kerapu.

Tommy Tang

“Kerapu memang jarang sekali dijadikan sebagai menu ikan bakar tetapi pelanggan boleh mendapatkannya di gerai ini ketika bulan Ramadan.

“Memandangkan saya berasal dari Negeri Bawah Bayu sudah semestinya saya akan ‘promote’ ikan ayam-ayam, belawis dan uji rashid yang begitu terkenal di sana untuk pelanggan rasai sendiri kelazatannya.

“Ditambah pula dengan resipi sambal istimewa yang digunakan untuk menyalut ikan bakar tersebut dan sos pencicah, sudah pasti menjadi hidangan menyelerakan di bulan puasa,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette di sini hari ini.

Berkongsi lanjut, Tommy berkata, dia turut mengusahakan sebuah restoran ikan bakar di Bukit Bintang, selain berniaga di bazar tersebut.

Jelasnya, dia sudah berjinak-jinak dalam dunia perniagaan sejak tahun 2009 selepas berhenti kerja di sebuah hotel.

“Pengalaman yang ditimba sepanjang bekerja di hotel saya manfaatkan dengan membuka  perniagaan kedai makan.

Gerai Nur Iman Bayu di Bazar Ramadan Bandar Sri Permaisuri.

“Sebenarnya apa-apa jenis ikan pun memang sedap bila dibakar tetapi saya sentiasa memastikan kualiti ikan yang dijual haruslah segar dan dipadankan dengan salutan sambal istimewa yang saya cipta sendiri.

“Kebanyakan yang singgah adalah pelanggan tetap dan ada juga ‘first time customer’.

“Jika ramai pelanggan yang berkunjung ke bazar, saya boleh jual sehingga 60 kilogram ikan termasuk sotong,” ujarnya.

Tambah Tommy, ikan bakar di gerainya itu dijual bermula dengan harga RM4 sehingga RM35 bergantung kepada jenis ikan.

Kata Tommy lagi, jualannya mendapat sambutan hangat daripada pelanggan berikutan hanya terdapat dua gerai menjual ikan bakar di bazar Ramadan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast