Anggota Bahagian Keselamatan Kualiti Makanan negeri mengambil sampel makanan di bazar untuk dihantar ke makmal di George Town, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Jabatan Kesihatan Pulau Pinang mengambil sebanyak 13 sampel makanan di beberapa bazar Ramadan di negeri itu untuk memastikannya ia selamat sekali gus mengelak kes keracunan makanan.

Timbalan Pengarah Bahagian Keselamatan Kualiti Makanan (BKKM), Mahamad Sukor Senapi berkata, sampel makanan yang diambil adalah daripada makanan dan minuman berisiko tinggi seperti lauk pauk yang mengandungi santan, air tebu dan air kelapa.

Mahamad Sukor.

Sampel itu kemudian akan dihantar ke makmal keselamatan dan kualiti makanan di Butterworth untuk dijalankan ujian sama ada mempunyai bakteria yang boleh mendatangkan penyakit.

Jelas beliau, keputusan ujian akan siap dalam tempoh 14 hari bergantung kepada jenis sampel makanan yang dihantar.

Mahamad Sukor (depan, kanan) memeriksa dokumen pengendali makanan peniaga di Bazar Ramadan Liga Muslim di Lebuh Queen di sini hari ini.

“Aspek keselamatan kualiti makanan perlu ditekankan walaupun berdepan negara situasi norma baharu akibat pandemik Covid-19.

“Setakat hari ini, kita telah ambil 13 sampel makanan membabitkan tiga bazar Ramadan iaitu di Gelugor, Bukit Jambul dan Lebuh Queen.

“Tujuan kita ambil sampel makanan ini bagi memberi ruang kepada pembeli membuat pilihan produk yang hampir terjamin aspek keselamatannya,” katanya.

Anggota Bahagian Keselamatan Kualiti Makanan negeri mengambil sampel makanan di bazar untuk dihantar ke makmal.

Beliau berkata demikian selepas melakukan pemeriksaan keselamatan kualiti serta cara pengendali menyediakan makanan di Bazar Ramadan Liga Muslim di Lebuh Queen di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Operasi S. Pathmanathan dari Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut.

Ketua Operasi, Pathmanathan menegur peniaga yang menggunakan kertas untuk melapik makanan yang dijual di bazar Ramadan Liga Muslim di Lebuh Queen di sini.

Mengulas mengenai pemeriksaan di bazar Ramadan Liga Muslim, Mahamad Sukor berkata, tiada notis dikeluarkan kepada pengendali makanan namun beberapa peniaga ditegur berhubung cara pembungkusan.

Mahamad Sukor (kiri) memeriksa dokumen pengendali makanan peniaga di Bazar Ramadan Liga Muslim di Lebuh Queen di sini hari ini

“Sebanyak 17 gerai diperiksa melibatkan 51 pengendali makanan. Selain itu, kita juga mengambil sampel makanan seperti nasi ayam, martabak, air tebu serta air kelapa untuk dihantar ke makmal,” kata beliau. – MalaysiaGazette