GEORGE TOWN – “Saya reda dengan ketentuan Allah tetapi sebagai seorang ibu saya mahukan hukuman setimpal terhadap penjenayah yang menyebabkan kematian kepada Muhammad Iqbal”.

Muhammad Iqbal Mazlan.

Itu luahan ibu kepada Konstabel Muhammad Iqbal Mazlan, 22, yang maut dalam kemalangan ketika mengejar penjenayah dalam kejadian di Jalan Utama di sini, hari ini.

Noraini.

Kejadian jam 1.35 pagi menyebabkan anggota dari Balai Polis Dato Keramat itu meninggal dunia di lokasi kejadian.

MalaysiaGazette difahamkan, mangsa bersama dua lagi anggota mengejar seorang tokan dadah sebelum motosikal yang tunggangnya bergesel dengan suspek menyebabkan dia terjatuh.

Akibat kejadian itu, Muhammad Iqbal mengalami kecederaan teruk pada bahagian kepala dan muka.

Pihak forensik menjalankan siasatan di lokasi kejadian mangsa terbunuh.

Ibu mangsa, Noraini Jaafar, 54, berkata, dia menerima panggilan daripada kawan arwah pada jam 2.35 pagi yang memaklumkan kejadian menimpa anak kedua daripada tiga beradik itu.

Noraini.

Jelasnya, tidak lama selepas itu dia dan suaminya, Mazlan Omar yang juga anggota polis trafik bergegas dari Kuala Besut, Terengganu ke Pulau Pinang untuk proses pengecaman.

“Ibu mana tidak terkejut kalau dapat panggilan anaknya sudah meninggal dunia tambah pula tiada perubahan ditunjukkan arwah ketika kami berbual menerusi aplikasi WhatsApp dua hari lalu.

“Arwah menghantar gambar menu berbuka puasa serta menyatakan rindu masakan saya. Selain itu, Iqbal turut mengirimkan gambarnya lengkap beruniform untuk ke tempat kerja.

Noraini menunjukkan gambar dirinya memakai telekung yang dikirimkan Muhammad Iqbal.

“Saya tidak sangka kiriman telekung berwarna merah pada 9 April lalu merupakan kenangan terakhir arwah buat diri saya,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di Hospital Pulau Pinang hari ini.

Mengulas lanjut, Noraini berkata, dia dan keluarga mendapat berita bahawa penjenayah yang terlibat dalam kejadian itu sudah diberkas.

“Saya memang reda dengan ketentuan Allah namun saya harap hukuman setimpal dikenakan terhadap suspek itu,” ujar Noraini.

Jenazah Muhammad Iqbal dijangka dikebumikan di Kampung Air Tawar, Besut esok. – MalaysiaGazette