SEBERANG PERAI – “Datang jumpa kawan, tidak tahu ini premis loteri haram.
Itu antara alasan beberapa kaki judi sebaik ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah stor yang dijadikan premis loteri haram di Taman Limau Manis, Bukit Mertajam di sini semalam.
Serbuan yang diketuai Inspektor Mohd Airedzuan Arifin bersama sepasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah pada jam 4 petang itu berjaya memberkas tujuh individu termasuk empat pelanggan.
Ketua Polis Daerah Seberang Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, hasil risikan beberapa hari mendapati wujud kegiatan mencurigakan di stor berkenaan sebelum pihak polis melakukan serbuan semalam.
“Hasil serbuan kita dapati stor berkenaan dijadikan premis loteri haram dan dalam serbuan terbabit kita menahan tujuh suspek berusia lingkungan 29 hingga 59 yang terdiri daripada tiga ejen dan empat pelanggan.
“Hasil soal siasat ke atas ejen loteri haram itu mendakwa baru beroperasi seminggu dengan pendapatan harian berjumlah RM200-RM500 setiap hari cabutan dibuat.
“Semakan juga mendapati tiga ejen berusia 29,40 serta 41 tahun itu mempunyai rekod lampau. Kesemua memiliki lebih lima rekod manakala suspek 41 tahun memiliki 19 rekod lampau,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Turut dirampas dalam serbuan berkenaan wang tunai RM1,610, tiga buah telefon bimbit, pelbagai peralatan perjudian serta tiket loteri haram
Menurut Shafee, pelbagai alasan diberikan oleh pelanggan yang ditahan sebelum mengaku berada di lokasi bagi tujuan membeli loteri haram.
“Kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 9(1) akta yang sama,” kata beliau. – MalaysiaGazette