KOTA BHARU – Semua sekolah di tujuh daerah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kelantan ditutup mulai hari ini hingga 24 April susulan peningkatan kes COVID-19 yang dilaporkan di sekolah negeri ini.
Arahan ini termasuk semua tadika yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di daerah terbabit.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Zulkernai Fauzi berkata, keputusan itu dbuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Negeri Khas Kelantan – Penguatkuasaan Covid-19 semalam.
Bagaimanapun, menerusi satu surat pekeliling yang dikeluarkan malam tadi memaklumkan, semua murid yang tinggal di asrama perlu kekal berada di asrama.
“Hasil mesyuarat dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Khas Kelantan petang semalam, mencadangkan menutup semua sekolah dibawah KPM di tujuh daerah yang dilaksanakan PKP.
“Sehubungan itu, KPM membuat ketetapan bahawa semua sekolah di tujuh daerah berkenaan ditutup mulai 18 hingga 24 April, namun pelajar asrama perlu kekal berada di asrama,” katanya.
Katanya, semua sekolah yang ditutup perlu melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR). – MalaysiaGazette