Dr. Adham Baba

KUALA LUMPUR – Kes positif Covid-19 dilaporkan meningkatkan sehingga 45 peratus berakhir 17 April lalu.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, jumlah purata pada minggu ke 15 didapati meningkat kepada 1,963 kes.

“Pada 17 April mendapati sebanyak 372,859 kumulatif kes Covid-19 dilaporkan dan pada minggu ke 15 sahaja sebanyak 13,742 kes dilaporkan.

“Peningkatan kes ini dikesan sejak tiga minggu lalu,” katanya dalam sidang media perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Untuk kes aktif, Dr Adham berkata 19,094 kes aktif Covid-19 direkodkan pada 17 April lalu yang mewakili 5.1 peratus daripada jumlah kes kumulatif direkodkan di negara ini.

“Sejumlah 17,096 purata kes aktif direkodkan pada minggu ke 15. Ini menunjukkan bahawa 18 peratus peningkatan kes purata di minggu 14 ke minggu 15,” katanya lagi.

Kes sembuh sepenuhnya daripada positif Covid-19 pula kini diparas 94 peratus dengan jumlah kumulatifnya adalah 352,395 kes.

Dalam pada itu, jumlah kes korban ekoran positif Covid-19 pula adalah 1,370 setakat Sabtu lalu dengan kadar peratusan 0.37 peratus.

“48 kematian direkodkan pada minggu 15 dimana 7 putara kematian sehari,’ kata Adham lagi.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sejumlah 3,000 sukarelawan yang menyertai kajian klinikal fasa 3 vaksin Covid-19 dikategori sebagai mereka yang sudah terlindung daripada virus itu.

Beliau turut berkata kesemua mereka tidak perlu diberikan suntikan vaksin tambahan.

“Mereka sudah divaksin dan tidak perlu divaksin dengan vaksin lain seperti Pfizer atau Sinovac disebabkan ujian yang dijalankan sememangnya dikhususnya untuk mereka.

“Kita anggap mereka sudah terlindung dan diberi perlindungan dan tidak boleh beri suntikan tambahan kerana kajian yang berlangsung adalah selama 13 bulan.

“Kami nasihatkan mereka cuma menjaga penjagaan kendiri, kebersihan, memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan sosial,” katanya.

Untuk rekod, kajian terhadap kumpulan sukarelawan ini akan berjalan sehingga 13 bulan dan mereka tidak boleh diberikan suntikan vaksin. – MalaysiaGazette