Enam kelab elit EPL yang bersetuju menyertai Liga Super Europa berdepan tindakan gantung daripada menyertai liga domestik, antarabangsa dan juga Piala Dunia bersama pasukan kebangsaan selepas tidak diiktiraf oleh FIFA dan Uefa.

LONDON – Arsenal, Chelsea, Liverpool, Manchester City, Manchester United dan Tottenham Hotspur merupakan enam kelab besar Liga Perdana Inggeris (EPL) yang bersetuju untuk menyertai Liga Super Europa (ESL).

Kelab-kelab England itu akan menyertai kelab elit Eropah lain seperti AC Milan, Atletico Madrid, Inter Milan, Real Madrid dan Barcelona.

Bagaimanapun tindakan ESL ditentang hebat oleh Kesatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dengan amaran akan digantung daripada menyertai perlawanan domestik dan antarabangsa selain pemain tidak dibenarkan mewakili pasukan kebangsaan ke Piala Dunia.

Jawatankuasa ESL berkata, kelab-kelab berkenaan sudah menyatakan persetujuan untuk mengadakan satu perlawanan setiap minggu untuk membolehkan bersaing dalam liga domestik masing-masing tanpa gangguan.

ESL juga merancang untuk melancarkan perlawanan pasukan wanita selepas perlawanan untuk pasukan lelaki membuka tirai.

Perdana Menteri, Boris Johnson, Kesatuan Bola Sepak Europa dan Liga Perdana Inggeris mengutuk pendekatan Liga Super Europa yang diusahakan kelab-kelab elit Eropah itu.

Rancangan ESL terbongkar pada Ahad, sekaligus mencetuskan kritikan pelbagai pihak di England.

Sebelum ini, FIFA menyatakan bahawa badan kawal selia bola sepak dunia itu tidak akan mengiktiraf ESL.

Uefa menyatakan bahawa mana-mana pemain yang mengambil bahagian dalam ESL akan digantung daripada semua aktiviti bola sepak domestik, Eropah dan di peringkat antarabangsa selain dihalang mewakili pasukan kebangsaan.

Selepas pembentukan ESL diumumkan, FIFA menyatakan kekecewaan serta tidak merestui inisiatif baharu yang dicadangkan itu dan mendesak semua pihak menangani isu itu menerusi dialog demi semangat kesukanan serantau.

ESL pula dalam satu kenyataan menyatakan kelab-kelab yang ada dalam liga baharu itu berhasrat mengadakan perbincangan dengan Uefa dan FIFA untuk bekerjasama bagi mendapatkan hasil terbaik. – MalaysiaGazette