Bekas arkitek, Amir Zuhairy Alias berniaga di bazar Ramadan pada Program Ziarah Ramadan PPZ-MAIWP Siri 1 di Masjid Al-Imam Al-Ghazali, Kepong. Foto HAFIZ SOHAIMI, 16 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Impak pandemik Covid-19 yang melanda negara bukan sahaja mengakibatkan kehilangan nyawa malah turut ‘meragut’ sumber pendapatan sesetengah keluarga.

Jika dahulu mampu hidup selesa dengan memegang jawatan sebagai seorang profesional, kini Amir Zuhairy Alias, 40, terpaksa bertukar bidang dengan mencari rezeki sebagai peniaga bazar Ramadan.

Menurut bekas arkitek landskap di sebuah syarikat swasta itu, tekanan ekonomi sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu telah mengakibatkan dirinya serta isteri, Ummi Nazra Irawan, 41, telah kehilangan pekerjaan.

 Amir Zuhairy Alias Foto HAFIZ SOHAIMI, 16 APRIL 2021.

“Akibat ketidaktentuan ekonomi, syarikat terpaksa melepaskan pekerja termasuk saya. Sejak itu saya mula melakukan pelbagai pekerjaan asalkan dapat mencari income untuk menanggung keluarga.

“Saya bukannya tidak pernah cari peluang lain tapi sekarang ini memang susah sangat nak mencari kerja. Jadi bazar Ramadan ini merupakan salah satu cara untuk menambah pendapatan.

“Kita jangan tengok bahawa peniaga-peniaga kecil sahaja yang terjejas akibat PKP tetapi ia melibatkan semua golongan.

“Saya sendiri berada dalam bidang pembinaan sebelum ini memang diakui amat terjejas disebabkan oleh pandemik Covid-19 ini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Bazar Ramadan Masjid Imam Al-Ghazali, Kepong baru-baru ini.

Bercerita lanjut, Amir Zuhairy berkata, tahun lalu merupakan pengalaman pertamanya menganggur sehingga menyebabkan dirinya buntu memikirkan masa depan.

Namun fasa tersebut hanya sementara sebelum dia bersama-sama isteri mencari solusi untuk menambah pendapatan keluarga.

“Saya ada jual kambing perap dan otak-otak secara online. Di bazar Ramadan pula, isteri ada buat kuih-muih untuk dijual.

“Sebelum ini, isteri merupakan seorang pensyarah di kolej swasta jadi ketika PKP tidak ramai pelajar yang sambung belajar jadi main income kolej turut terjejas.

“Covid-19 ini menyebabkan berlakunya domino effect, apabila kolej tiada pendapatan untuk bayar pensyarah jadi isteri saya turut dibuang kerja.

“Kami sudah buat keputusan daripada kami duduk sahaja, apa kata kita berniaga untuk mencari sumber pendapatan menyara keluarga.

“Saya tengok di kawasan ini banyak peniaga lebih kurang kes macam saya, mereka dulu profesional tetapi akibat kesan Covid-19 ini mereka sendiri tidak dapat kerja dan kini berusaha untuk berniaga,” ujarnya yang mempunyai tiga anak berusia antara 15 hingga tujuh tahun.

Tambah Amir Zuhairy lagi, dia sudah menghadiri beberapa temu duga sebelum ini namun kesemua jawatan yang ditawarkan berstatus keep in view disebabkan keadaan ekonomi yang masih belum stabil.

“Saya tak pernah tak bekerja, sewaktu Covid-19 inilah saya merasa pengalaman menganggur setelah bertahun-tahun bekerja. Itu yang lebih perit kerana banyak yang sengsara juga akibat Covid-19,” katanya.

Turut berkongsi nasib hampir serupa, peniaga bazar, Mohd Fuad Md Salleh, 47, berkata, dalam keadaan ekonomi sekarang dia sanggup melakukan apa sahaja kerja asalkan dapat menjana pendapatan buat keluarga.

Peniaga asnaf, Mohd Fuad Md Salleh berniaga di bazar Ramadan pada Program Ziarah Ramadan PPZ-MAIWP Siri 1 di Masjid Al-Imam Al-Ghazali, Kepong. Foto HAFIZ SOHAIMI, 16 APRIL 2021.

Mohd Fuad mempunyai tiga orang anak berusia antara 23 hingga 15 tahun.

“Sebelum ini saya bekerja dalam bidang pemasaran tapi apabila PKP tahun lalu banyak aktiviti syarikat yang tergendala jadi saya jalankan aktiviti perniagaan dalam talian secara kecil-kecilan seperti menjual kurma, kuih-muih dan apa sahaja aktiviti yang boleh menjana ekonomi untuk saya dan keluarga.

“Lama saya bekerja dalam bidang pemasaran dan juga beberapa pekerjaan lain kerana selama ini memang makan gaji.

“Tahun lalu, saya kehilangan kerja kerana aktiviti ekonomi semakin merosot, larangan rentas negeri dimana kami tidak boleh bergerak dari satu destinasi ke satu destinasi,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Fuad juga berharap kerajaan dapat melonggarkan lagi syarat-syarat bagi sektor lain dan membuka peluang untuk rakyat menjana ekonomi.

“Pandemik ini amat memburukkan keadaan bukan sahaja negara tetapi juga rakyat yang mengalami kesannya,” katanya.

Amir Zuhairy dan Mohd Fuad merupakan peniaga asnaf yang menerima sumbangan daripada Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menerusi program Ziarah Ramadan PPZ-MAIWP Siri 1.- MalaysiaGazette