Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah bercakap pada sidang media berkaitan isu video lagu raya promosi judi atas talian di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 17 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Lima suspek yang ditahan berlakon dalam video kedua iklan raya mempromosi judi dalam talian yang tular di media sosial sejak Khamis lalu dibebaskan hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kesemua lima individu itu terdiri daripada pelakon yang berlakon video berkenaan dan salah seorangnya adalah wanita.

Katanya, mereka telah direman semalam di lokap IPD Dang Wangi selama dua hari sehingga dibebaskan hari ini.

“Lima suspek yang ditahan dalam siasatan video kedua iklan raya yang mempromosikan judi dalam talian mencetuskan kontroversi telah dibebaskan dengan jaminan polis petang tadi.

“Sementara itu, polis akan melengkapkan kertas siasatannya dan dirujuk terus kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) secepat mungkin.

“Kini kita akan fokus untuk siapkan kertas siasatannya,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Video berdurasi tiga minit lapan saat itu tular sejurus selepas video pertama dikesan polis pada 15 April sebelum laporan polis menyusul dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Rentetan penularan video kedua itu, polis mengerakkan pengesanan kesemua individu yang berlakon dalam video kedua itu.

Kemudian kesemua lima individu itu telah ditahan di sekitar ibu negara oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Dang Wangi pada malam Sabtu.

Tambah beliau, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Jumaat lalu, lapan individu telah ditahan antaranya penerbit, produser serta pelakon video pertama iklan raya mempromosikan judi online yang tular pada 15 April lalu.

Sebanyak 38 laporan polis telah diterima berkaitan video pertama itu manakala suspek utama berusia 35 tahun yang disyaki dalang penghasilan kedua-dua video itu telah diburu sebelum berjaya ditangkap awal pagi tadi bersama empat lagi suspek iaitu komposer serta penyanyi yang muncul dalam video kedua itu bagi membantu siasatan lanjut.-MalaysiaGazette