Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, K. Raman bercakap pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Microsoft Bersama Malaysia di Hotel Zenith, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 19 APRIL 2021.

PUTRAJAYA – Microsoft Corporation (Microsoft) akan menubuhkan pusat data serantau pertama di persekitaran Kuala Lumpur dalam usaha menyediakan capaian kepada kemudahan Microsoft Could yang serba lengkap.

Pengarah Urusan Microsoft, K. Raman berkata, ia melibatkan capaian Microsoft Azure yang membolehkan sesiapa sahaja mereka cipta dengan tujuan khusus menggunakan perkhidmatan dan keupayaan awan merangkumi perkomputeran, perangkaian, pangkalan data, rangkaian internet (IOT), kepintaran buatan (AI) dan data analitik.

Capaian lain kata beliau, adalah Microsoft 365 untuk berhubung, bekerjasama, bekerja secara jarak jauh dan belajar di dalam talian dengan alat produktiviti inovatif selain Dynamics 365 dan Power Platform untuk membina dan menguruskan penyelesaian perusahaan kritikal yang boleh diskala dengan aplikasi perniagaan pintar.

“Pusat data serantau baharu ini juga akan menyediakan Zon Ketersediaan Azure (Azure Availability Zones), menyediakan daya tahan lebih kukuh bagi aplikasi yang sentiasa tersedia sambil menyokong matlamat kelestarian Microsoft.

“Malah Microsoft telah membuat komitmen global untuk beralih 100 peratus kepada tenaga boleh diperbaharui menjelang 2025.

“Ini bermakna Microsoft akan mempunyai perjanjian pembelian kuasa untuk tenaga hijau bagi menggantikan 100 peratus bekalan kuasa yang menghasilkan karbon yang digunakan oleh semua pusat data, bangunan dan kampusnya, termasuk pusat data serantau yang dirancang di Malaysia,” katanya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, K. Raman melakukan gimik Pelancaran Microsoft Bersama Malaysia di Hotel Zenith, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 19 APRIL 2021.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Inisiatif Microsoft Bersama Malaysia yang disempurna Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Hotel Zenith di sini hari ini.

Turut hadir beberapa barisan Menteri Kabinet antaranya Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri S Saravanan.

Raman menambah, Microsoft berbangga untuk memeterai kerjasama dengan Malaysia bagi  merancakkan lagi perkembangan ekonomi digital negara ini.

Jelas beliau, kerjasama awam-swasta ialah faktor pendorong penting yang bakal memacu ekonomi digital Malaysia menerusi Inisiatif Microsoft Bersama Malaysia yang mencerminkan komitmen pihaknya untuk menyokong aspirasi MyDigital negara.

“Pada masa sama, kami mahu memperkasakan setiap insan dan setiap organisasi di Malaysia untuk mencapai lebih lagi.

”Dengan lebih daripada 200 kakitangan dan 2,000 rakan kerjasama di negara ini, kami akan terus menyokong kerajaan berkeupayaan digital, memperkasakan perniagaan untuk membina ketahanan digital, dan merapatkan jurang peluang digital bagi rakyat Malaysia. Kami berdiri teguh bersama Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast