KUALA LUMPUR – ”Tak perlu kita nak berkawan dengan Kluster Pengkhianat kerana mereka adalah binatang politik,” kata Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris.
Beliau membidas Ahli Majlis Pimpinan Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman yang melabel “Kluster Mahkamah” UMNO sebagai binatang politik yang mempergunakan ketuanan Melayu untuk kepentingan peribadi.
Menurut Muhammad Faiz, Kluster Mahkamah ialah sekelompok binatang politik (biasanya berumur) yang sudah terlalu lama menjadi warlord dalam arena politik negara.
“Mereka menjadikan wadah ‘ketuanan Melayu’ sebagai tirai untuk melindungi ketamakkan serta kepentingan peribadi dan kelompok kecil lingkungan mereka sahaja, hampir seperti modus operandi kartel projek yang dibanteras oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini,” katanya.
Najmil mengingatkan Muhammad Faiz supaya tidak menghina UMNO kerana disebabkan parti ini jugalah pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merasa menjadi perdana menteri dan menteri walaupun memerintah dengan tidak mempunyai majoritinya.
”Lain kali cermin diri dahulu sebelum menghina orang. Betapa jijiknya kamu mengkhianati mandat rakyat yang mengundi kamu atas nama Pakatan Harapan dan akhirnya meruntuhkan kerajaan sendiri kerana gila kuasa,” katanya dalam kenyataan di sini.
Najmil berkata, rakyat akan ingat Bersatu sebagai parti pengkhianat terbesar dalam sejarah negara dan rakyat akan ingat Bersatu sebagai pembunuh demokrasi berparlimen di Malaysia.
Rakyat akan ingat Bersatu sebagai entiti utama yang memimpin kerajaan Perikatan Nasional ke arah kegagalan termasuklah dalam aspek ekonomi, sosial, politik dan juga kesihatan lalu menggunakan kuasa dan pengaruh untuk mengukuhkan kuasa dengan menerima ahli-ahli parlimen yang lompat parti untuk menyokong kerajaan.
”Inikah kerajaan yang ingin rakyat Malaysia banggakan dan harapkan untuk masa depan yang lebih cerah? Berseronoklah kamu sementara di atas. Dunia ini seperti roda. Rakyat akan menghukum Bersatu pada PRU-15,” ujarnya. – MalaysiaGazette