KUALA LUMPUR – Satu tangkap layar tular di media sosial memaparkan beberapa pelajar di sebuah kolej di Perak telah dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 selepas dikatakan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Menurut pemilik akaun Twitter itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada awalnya hadir ke kolej berkenaan pada hari Ahad lalu (18 April) bagi memeriksa kafe di kolej susulan kes keracunan makanan sebelum ini.
Sehingga semalam, KKM masih turun ke kolej itu walaupun kafe yang terlibat telah dikenakan notis tutup premis selama dua hari.
Namun, mereka tidak menyangka kehadiran petugas KKM itu turut melaksanakan tindakan ke atas para pelajar yang tidak memakai pelitup mulut tanpa sebarang amaran, peringatan mahupun bertanya.
“Beberapa pegawai KKM masih berada di kawasan kafe sekitar 3:30 pm sehingga 5:00 pm. Kebanyakan student habis kelas jam 4:00 pm, dari kelas ke blok kediaman siswa atau ke kafe untuk beli makanan berbuka puasa.”
“Salah seorang rakan saya baru balik dari kelas memakai pelitup muka sambil berjalan dari blok akademik ke kafe. Namun disebabkan cuaca panas, semasa turun tangga ke kafe, dia telah menurunkan pelitup muka ke bawah disebabkan tidak cukup nafas (sesak nafas).”
“Lalu telah dipanggil pihak KKM dan terus dikenakan tindakan kompaun tanpa sebarang budi bicara mahupun teguran atau amaran dari KKM,” katanya di laman Twitter.
Dalam pada itu, pemilik akaun itu berkata, mereka akui tindakan pelajar itu sememangnya salah, namun mereka semua telah dikuarantin daripada bertemu orang luar dan langsung tidak ke mana-mana sejak lima bulan yang lalu.
Susulan tindakan petugas KKM itu tular di media sosial, rata-rata warga maya meminta pihak berwajib untuk memberi penjelasan berkenaan isu tersebut.
Sehingga jam 5 petang semalam, perkongsian itu telah mendapat lebih 29,000 komen dan 5,430 perkongsian daripada netizen.
Ini kerana terdapat beberapa kes lain yang melanggar SOP sebelum ini tetapi masih lagi dalam siasatan sedangkan para pelajar tersebut dikenakan tindakan dengan serta-merta.
Sementara itu, ciapan itu turut mendapat perhatian dari Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah susulan aduan daripada para pelajar kolej matrikulasi.
Dr Noor Hisham telah mengarahkan Jabatan Kesihatan Negeri Perak (JKNP) untuk segera menyiasat berhubung kes itu dan mengambil tindakan yang secepat mungkin. -MalaysiaGaette
Bagus ada pelajar kolej mahu dikenali sebagai penderma pandemic.