Mohd Muazzam Mohamed

KUALA LUMPUR – Bank Islam sasar untuk memiliki aset mencecah RM100 billion menjelang tahun 2025.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Muazzam Mohamed, ini sekaligus akan merealisasikan matlamat bank tersebut  untuk menjadi antara bank Islam yang terbesar daripada segi pemilikan jumlah aset.

Katanya, jumlah aset terkini bank tersebut adalah RM75 billion.

“Insya Allah, kita menyasarkan agar Bank Islam pada 2025 nanti akan menjadi antara bank Islam yang terbesar daripada segi jumlah aset yang ada apabila kita telah melebihi sasaran RM100 bilion,” katanya kepada pemberita pada sesi taklimat Hala Tuju Bank Islam di sebuah hotel di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed bercakap pada Taklimat Media Bank Islam-Hala Tuju di EQ Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 21 APRIL 2021.

Hala tuju bank itu sehingga 2025 kelak adalah memperkasakan aliran perniagaan melalui pengurusan kekayaan, kewangan sosial, mendepani kaedah bank digital, perusahaan dan Perbankkan Borong, kata Muazzam.

Beliau berharap penstrukturan yang sedang berjalan dan perancangan hala tuju  akan dapat memacu lagi perniagaan Kumpulan Bank Islam  selepas tersebarai di Bursa Saham kelak, sekaligus memberi manfaat kepada perkembangan ekonomi Malaysia terutama dalam bidang kewangan Islam.

Muazzam turut memaklumkan proses penstrukturan  BIMB Holdings Bhd (BHB)  yang sedang berlangsung pada waktu ini berjalan lancar, bahkan telah mendapatkan kelulusan daripada pemegang saham.

Justeru, beliau berkata optimis ia akan selesai mengikut jadual iaitu pada Ogos kelak.

Sementara itu beliau berkata, pelanggan akan dapat menikmati produk dan perkhidmatan baharu Bank Islam  pelbagai pakej mengikut peringkat umur, bidang pekerjaan dan sebagainya.

“Selepas ini kita akan mengenengahkan lagi lebih banyak produk perkhidmatan baharu  sama ada melalui cawangan kita atau melalui kaedah digital.

“Jadi ini akan memberi lebih banyak Pilihan untuk  pelanggan kita untuk mendapatkan produk dan perkhidmatan yang lebih bersesuaian dengan kehendak masing-masing,” katanya lagi.

Untuk rekod, cadangan menstruktur semula BHB dilaporkan akan membabitkan lima komponen yang terdiri daripada cadangan penempatan saham baharu bagi mengumpul dana bernilai RM800 juta.

Hasil daripada usaha itu bersama-sama tunai dalaman akan digunakan untuk penyelesaian penuh baki sukuk yang dipegang oleh Lembaga Tabung Haji.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Selesaikan dahulu masalah apps Go by Bank Islam bleh? Sama juga dengan perbankan online Bank Islam tu. Nak buat schedule transaction pun tak boleh. Tak customer friendly langsung kemudahan.

Comments are closed.