Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diiringi Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi bergambar peluang menaiki Tarantula pada Majlis Penamaan Kereta Perisai Mobiliti Tinggi 4x4 Pertama Malaysia di Wisma Tentera Darat Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 02 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Johor Bahru, bermula 23 April hingga 6 Mei 2021.

Ia susulan peningkatan kes positif Covid-19 secara mendadak, demikian menurut Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 13 kes positif.

Dalam kenyataanya, Ismail Sabri turut memaklumkan PKPD untuk tempoh yang sama turut dilaksanakan di Maahad Tahfiz Al-Quran, Al-Asriah, Banggol Chicha, Pasir Mas, Kelantan.

Ismail berkata, 28 kes positif dikesan oleh KKM daripada 46 ujian saringan yang telah dilaksanakan.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan tindakan pengawalan jangkitan dan seterusnya mengekang penularan jangkitan Covid-19 kepada komuniti luar,” kata beliau menerusi kenyataan perkembangan PKP hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, PKPD di Ladang Leepang, Ladang
Laukin, Kampung Inoi, Rompin dan Kampung Gayang, Tuaran, Sabah ditamatkan esok.

Begitu juga di tiga lokaliti iaitu Institut Latihan Perindustrian (ILP) Sandakan, Taman Permata dan Taman Seri Labuk di daerah Sandakan.- MalaysiaGazette