logo polis
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Penahanan seorang lelaki di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban berjaya membawa kepada penemuan dokumen palsu permit pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)  yang mempunyai tandatangan dan cop polis.

Kejadian berlaku pada jam 6.10 pagi tadi semasa anggota Balai Polis Sri Petaling terlibat dalam tugas rondaan cegah jenayah.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, anggota ronda cegah jenayah bersama pasukan pemantau semasa rondaan di lebuh raya berkenaan telah terserempak dengan lelaki  yang memandu kereta  dalam keadaan mencurigakan.

“Suspek telah ditahan di hadapan pam stesen minyak  di lebuh raya berkenaan dan diperiksa di dalam kenderaan yang dipandunya. Hasil siasatan awal dan pemeriksaan, pihak polis telah membuat rampasan ke atas 15 keping dokumen permit pergerakan PKPB disyaki palsu yang mempunyai tandatangan dan cop balai polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya suspek kemudian telah dihadapkan untuk permohonan reman dan Majistret Kuala Lumpur membenarkan suspek berusia 35 tahun itu direman selama empat hari sehingga 27 April ini untuk membantu siasatan polis.

Tambah Anuar, kes itu disiasat di bawah Seksyen 22(d) Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) Pindaan 2021.

Ditanya motif suspek memiliki dokumen itu sama ada untuk kegunaan sendiri atau dijual kepada orang lain, Anuar berkata, polis sedang menyiasat segala kemungkinan itu memandangkan jumlah dokumen palsu yang dirampas dari suspek adalah lebih 10 keping.

“Sedang dalam siasatan polis tujuan suspek memalsukan dokumen pergerakan PKPB itu, sama ada untuk kegunaan sendiri atau untuk dijual kepada orang lain, segala kemungkinan akan kita siasat.

Ujar beliau, kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan PKPB dan orang awam dinasihatkan untuk mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan.

Menurutnya, tindakan memalsukan permit pergerakan PKPB atas tujuan yang bertentangan dengan arahan semasa Majlis Keselamatan Negara boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Sebarang pertanyaan atau maklumat boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan.- MalaysiaGazette