Foto Facebook MFL.

KUALA LUMPUR – Kedah Darul Aman FC ( KDA FC) bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) 3-2 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman di Alor Star, malam tadi.

Penyerang, Kipre Tchetche menjadi wira skuad Lang Merah apabila jaringannya pada masa kecederaan berjaya menjulang skuad Aidil Sharin Sahak dan mengembirakan lebih 1,200 penyokong tuan rumah.

Kedah kini berada di tangga kedua liga tiga mata di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) yang kurang satu perlawanan.

Sementara itu, Selangor FC melepaskan peluang keemasan untuk merampas kedudukan keempat Liga Super dari Penang FC apabila terikat 2-2 dengan Sabah FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini.

Bobby Gonzales muncul pemusnah impian Selangor untuk meraih tiga mata di gelanggang sendiri apabila meledak gol penyamaan buat Sabah pada minit ke-88.

Keputusan itu menyaksikan Selangor kekal di kedudukan kelima dengan mengumpul 15 mata selepas 10 perlawanan, manakala Sabah mengutip 10 mata di kedudukan kelapan. – MalaysiaGazette