Orang ramai menunggu giliran menjalani ujian Covid-19 ketika negara itu berusaha menangani gelombang jangkitan baharu di Bangkok, Thailand

BANGKOK – Thailand mencatatkan 2,839 kes baharu Covid-19 pada Sabtu, kes harian tertinggi pada hari kedua berturut-turut dengan pihak berkuasa memberi jaminan katil hospital mencukupi di tengah-tengah gelombang jangkitan ketiga, pandemik terburuk di negara itu.

Jurucakap Pusat Pentadiran Situasi Covid-19 (CCSA), Dr Taweesin Visanuyothin berkata, kes baharu itu menjadikan jumlah jangkitan kepada 53,022 sejak pandemik itu bermula tahun lalu dan dalam tempoh 24 jam lepas, Thailand juga merekodkan lapan kematian baharu, juga mencatatkan jumlah kematian tertinggi dalam sehari menjadikan jumlah kematian kepada 129.

Daripada jumlah kes baharu itu, beliau berkata 2,827 adalah penularan tempatan dan 12 kes import.

Beliau berkata, Bangkok mendahului senarai itu dengan jumlah kes tertinggi ialah 1,582 diikuti Chiang Mai (151), Chonburi (118), Nonthaburi (96) dan Samut Prakan (84).

Katanya, gelombang ketiga wabak itu telah mencatatkan 24,159 kes dan 35 kematian hanya dalam tempoh 24 hari.

“Sehingga kini seramai 22,327 orang dimasukkan ke hospital iaitu 17,924 dirawat di hospital dan 4,403 di hospital lapangan.

“Terdapat 418 orang lagi berada dalam keadaan serius manakala 113 menggunakan ventilator,” katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini hari ini.

Tambahnya, kematian baharu itu melibatkan enam lelaki dan dua wanita – semua warganegara Thailand berumur antara 48 dan 89 tahun yang mempunyai masalah kesihatan yang kronik kecuali pesakit berumur 48 tahun itu yang mempunyai masalah obesiti.

Mengenai katil hospital, Taweesin memberi jaminan katil hospital mencukupi di negara itu untuk menangani lonjakan kes Covid-19

Beliau berkata, terdapat sejumlah 40,524 katil di hospital dan hospital lapangan dengan 21,138 masih kosong.

Memandangkan kes Covid-19 terus meningkat, beliau berkata, Kementerian Kesihatan Awam sedang menambah lebih banyak katil hospital.

Lonjakan ketara jangkitan itu mencetuskan kebimbangan mengenai kekurangan katil hospital kerana Thailand menetapkan semua pesakit Covid-19 dimasukkan dan dirawat di hospital bagi mengurangkan penularan.

Media tempatan melaporkan Bangkok mempunyai 262 katil di unit rawatan rapi (ICU) dan hanya 69 katil tidak didiami. Jika jangkitan Covid-19 terus meningkat sebanyak 1,500 kes sehari, semua katil ICU di Bangkok akan penuh dalam tempoh enam hingga lapan hari.

Bagi menghentikan penularan pandemik Covid-19 di negara itu, pemakaian pelitup muka di tempat awam diwajibkan di 42 wilayah termasuk Phuket, Pattani, Songkhla, Kanchanaburi dan Samut Sakhon.

Selain itu, semua kompleks beli-belah dan bazar komuniti di kawasan zon merah termasuk Bangkok akan dibuka dari 11 pagi hingga 8 malam bermula esok hingga 2 Mei manakala pasar raya dan kafetaria akan ditutup pada 9 malam. Kedai serbaneka akan beroperasi dari 5 pagi hingga 10 malam.

Sementara itu dalam ucapan yang disiarkan di televisyen malam tadi, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha meyakinkan rakyat di negara itu, kerajaan berupaya menangani wabak terbaru itu.

“Rakyat harus terus berhati-hati dan (malah) mematuhi langkah yang dikeluarkan oleh CCSA. Ini membantu meringankan beban petugas perubatan dan situasi Covid-19 harus segera terkawal,” katanya. – MalaysiaGazette