Sanjeevan Ramakrishnan. foto FAREEZ FADZIL, 05 JUN 2020

KUALA LUMPUR – Dua lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bertindak membuat laporan polis terhadap Sanjeevan Ramakrishnan atas dakwaan masih menggunakan gelaran kebesaran dari Istana Pahang walaupun terdapat bukti bahawa gelaran itu sudah ditarik balik.

Ketua Aktivis KRAMAT, Hamdan Mohd Salleh yang tampil membuat laporan polis berkata, pihaknya terpanggil untuk membuat laporan itu di Ibu Pejabat Dang Wangi atas dasar mempertahankan institusi Raja-raja Melayu daripada terus dipermainkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Selain KRAMAT, Gabungan NGO Lembah Klang turut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Cheras berhubung isu yang sama.

“Kami minta polis siasat kerana merasakan tindakan Sanjeevan ini sebagai tidak jujur dan sebagai suatu penghinaan kepada institusi Raja-raja Melayu dengan melampirkan bukti untuk disiasat oleh pihak polis.

“Ini penting bagi mendapatkan kepastian kerana ia boleh menjadi cubaan mengelirukan semua pihak dengan menggunakan gelaran Datuk Seri walaupun secara terang dan jelas ianya telah ditarik balik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ketua Aktivis KRAMAT, Hamdan Mohd Salleh. Foto HAFIZ SOHAIMI, 17 APRIL 2021.

Pada 7 April lalu, Pertubuhan Pembangunan dan Kebajikan Masyarakat Batu Kuala Lumpur (PEMBAKTI) memulakan laporan polis terhadap Sanjeevan atas dakwaan terus menggunakan gelaran Datuk Seri walaupun ditarik balik oleh kerajaan Pahang.

Pengerusi PEMBAKTI, Mohd Zulkifli Abdul Fatah ketika membuat laporan itu berkata, bagiamana individu seperti Sanjeevan yang pernah membayar denda RM7,000, hilang kelayakan bertanding pilihan raya masih memegang jawatan dalam parti politik dan NGO.

Menurut Ketua Gabungan NGO Lembah Klang, Faizan Mohd. Nor, tindakan Sanjeevan yang didakwa masih memakai gelaran itu adalah sesuatu perkara yang serius.

Katanya langkah biadap itu jelas melibatkan nama baik pihak istana dan gelaran yang dikurniakan oleh Sultan-sultan Melayu.

“Justeru, kami membuat laporan polis ke atas Sanjeevan kerana kami mahu polis siasat jika benar beliau menggunakan gelaran dari Istana Pahang yang telah ditarik balik.

“Ini kerana kami khuatir gelaran kebesaran oleh Istana Pahang disalah gunakan untuk kepentingan peribadi kerana bukti telah menunjukkan ianya telah ditarik balik.

“Polis boleh mengambil tindakan tegas jika benar ia dilakukan agar mana-mana pihak yang berniat untuk menggunakan gelaran Datuk atau Datuk Seri secara palsu dan salah seperti ini tidak berani untuk melakukan sedemikian,” kata Faizan.

NGO buat laporan polis terhadap Sri Sanjeevan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast