Pengerusi PEMBAKTI, Mohd Zulkifli Abdul Fatah selepas membuat laporan polis terhadap S. Sanjeevan di Ibupejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Pembangunan dan Kebajikan Masyarakat Batu Kuala Lumpur (PEMBAKTI) membuat laporan polis terhadap Datuk Sri Sanjeevan Ramakrishnan.

Sanjeevan merupakan Ketua Pemuda Negara Negeri Sembilan dan Pengerusi PKN Parlimen Rasah.

NGO berkenaan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Dang Wangi di sini kerana mendakwa gelaran Datuk yang digunakan Sanjeevan telah ditarik balik oleh kerajaan Pahang namun  panggilan itu terus digunakan olehnya.

Pengerusi PEMBAKTI, Mohd Zulkifli Abdul Fatah berkata, pihaknya terpanggil untuk membuat laporan polis kerana sejak akhir-akhir ini timbul dakwaan segelintir yang Sri Sanjeevan menyalahgunakan gelaran itu.

“Sebagai seorang pemimpin NGO, saya tergerak untuk membuat laporan polis terhadap Sri Sanjeevan, kami musykil bagaimana seseorang yang pernah disabit kesalahan, pernah di penjara dan didenda masih boleh gunakan gelaran ini.

“Malah laman sesawang isitiadat.pahang.gov.my menunjukan gelaran tersebut telah ditarik balik, jadi bagaimana beliau boleh gunakan gelaran itu apatah lagi dengan memiliki jawatan dalam Pemuda Negara?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Malah katanya ada juga kenyataan-kenyataan media beliau yang masih lagi menggunakan gelaran Datuk.

“Ini adalah kesalahan penyamaran bawah Seksyen 9, Akta Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Anugerah 2017 (Akta 787),” katanya.

Mohd Zulkifi juga menyoal bagaimanakah seseorang yang pernah membayar denda sebanyak RM7,000 yang membolehkan diri hilang kelayakan bertanding dalam pilihan raya masih boleh memegang jawatan dalam parti politik dan juga NGO.

“Banyak persoalan kami yang perlukan jawapan, mohon pencerahan dari pihak berkuasa. Jika benar tindakan beliau juga sebenarnya sedikit sebanyak akan mencemarkan nama baik Penggerak Komuniti Negara,” tegasnya. -MalaysiaGazette