Dua perwakilan Pergerakan Puteri UMNO dilihat melintasi dinding yang dihiasi logo parti UMNO ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 07 DISEMBER 2017
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang bermesyuarat pada petang dijangka membincangkan hala tuju parti Melayu itu selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 yang berakhir 28 Mac lalu.

Sumber MalaysiaGazette memberitahu, MKT UMNO bakal membuat pendirian pada petang ini berhubung pemilihan parti itu sama ada sebelum atau selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mesyuarat MKT UMNO petang ini juga dijangka membuat keputusan penting demi survival parti itu termasuk tindakan tegas terhadap pemimpin UMNO yang mesra Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Mesyuarat yang dijadualkan bermula jam 4 petang ini akan dihabiskan lebih awal iaitu sebelum waktu Maghrib atau waktu berbuka puasa, kira-kira jam 7 malam ini.

Terdahulu ahli-ahli MKT UMNO kelihatan tiba di Menara Dato’ Onn seawal jam 3 petang tadi.

Antara ahli MKT UMNO yang hadir ialah Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Hadir sama, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan.

Turur hadir, Ketua UMNO Bahagian Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Armand Azha Abu Hanifah. – MalaysiaGazette