Wan Junaidi Tuanku Jaafar LKAN Auditor-General's Report punitive
Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUALA LUMPUR – Pengisytiharan Ordinan Darurat yang dilaksanakan oleh kerajaan pada 11 Januari lalu masih belum dapat mencapai matlamat utamanya iaitu untuk menurunkan kes positif Covid-19.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, justeru itu tidak sesuai untuk menarik balik darurat semata-mata untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sarawak.

Malah katanya, negara masih bergelut dengan gelombang ketiga Covid-19.

“Kes peningkatan Covid-19 masih tinggi, keadaan di mana pengisytiharan Darurat masih belum berjaya di Sarawak, kes masih kuat.

“Menarik balik darurat dalam konteks Sarawak adalah tidak sesuai kerana pengisytiharan Darurat masih belum capai sasaran untuk menurunkan kes positif Covid-19,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Platform Warongku peringkat kebangsaan di SME Corp, hari ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu berkata demikian menjawab pertanyaan MalaysiaGazette mengenai status Pilihan Raya Negeri Sawarak dimana sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu akan terbubar secara automatik pada 6 Jun depan.

Wan Junaidi berkata, sidang DUN di Sarawak tidak akan terbubar secara automatik selepas pelaksanaan Ordinan Darurat yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Pengisytiharan Darurat menggantung Perlembagaan Malaysia dan juga Perlembagaan Negeri seluruh negara termasuk Sarawak.

“Kalau Perlembagaan Negeri Sarawak menyatakan DUN terbubar pada 6 Jun, maka ia tidak terjadi kerana semenjak 11 Januari pengisytiharan Darurat dibuat sehingga 1 Ogos kalau tidak ada pembatalan kepada Ordinan Darurat, waktu dalam perlembagaan itu samada Parlimen ataupun penggal negeri itu tergantung.

“Masa terhenti pada masa Ordinan Darurat diisytiharkan. Jadi tidak ada lagi tarikh pembubaran DUN pada 6 Jun.

“Bila tiba 1 Ogos, baru tempoh pembubaran itu berjalan semula, dan akan ikut daripada hari Darurat diisytiharkan kepada tarikh akhir pembubaran 6 Jun,” jelas beliau.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, PRN Sarawak boleh berlaku sekiranya Yang Di-pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengadakan perbincangan bersama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud dan kedua-dua bersetuju untuk mengisytiharkan tarikh PRN itu.

“Jadinya tidak ada pembubaran secara automatik dan negeri tidak boleh mengadakan PRN melainkan Agong berbincang dengan Yang di-Pertua Negeri dan Ketua Menteri dan dipersetujui oleh mereka untuk mengisytiharkan hari PRN Sarawak baru boleh diadakan.

“Kuasanya sudah dipindahkan pada ketika ini masa darurat kepada Agong,” katanya lagi.

Pada Mac lalu, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memberi bayangan PRN Sarawak ke-12 akan diadakan tidak lama lagi.

Dalam nada berkias, Abang Johari membayangkan DUN Sarawak akan dibubarkan selepas Hari Raya Aidilfitri yang dijangka diraikan pada 13 Mei 2021.

Penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dijadualkan berakhir pada Jun 2021.

Sekiranya tiada pembubaran dilakukan selepas tempoh tersebut, ia akan terbubar secara automatik mengikut peruntukan undang-undang. – MalaysiaGazette