foto: awam

KOTA BHARU – Seorang peniaga burger di Kampung Rambutan Rendang, dekat sini diberi notis kompaun RM50,000 semalam setelah didapati berniaga melebihi waktu yang ditetapkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu sehingga 10 malam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Abdul Rahim Daud berkata, selain berniaga melebihi waktu perniagaan yang dibenarkan, peniaga itu juga didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) termasuk membuka meja untuk pelanggan selain tidak menyediakan peralatan saringan suhu dan sebagainya.

“Disebabkan kesalahan-kesalahan itu kita keluarkan kompaun maksimum sebanyak RM50,000. Bagaimanapun, peniaga berkenaan boleh membuat rayuan kepada Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial seorang peniaga burger mendakwa beliau dikenakan kompaun RM50,000 kerana berniaga di hadapan rumahnya sekitar pukul 11 malam.

Peniaga burger berkenaan, Wan Mohd Faisal Wan Kadir, 38, ketika dihubungi berkata, ketika kejadian sekitar pukul 11.10 malam itu, semua meja makan di kedainya telah disimpan kerana tiada lagi pelanggan, namun beliau belum menutup kedainya kerana sedang menyiapkan pesanan. – Bernama