Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Vaksin COVID-19 jenis AstraZeneca adalah selamat dan akan digunakan dalam proses vaksinasi golongan berusia 60 tahun ke atas, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata vaksin berkenaan akan digunakan dalam Fasa 2 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang telah bermula pada 19 April lepas untuk golongan warga emas dan mereka yang mempunyai komorbiditi.

“Saya ingin sahkan vaksin Astrazeneca ini selamat untuk digunakan dan ia berkesan. Kita akan gunakan kepada mereka berusia 60 tahun ke atas dan ia yang paling sesuai,” katanya dalam sidang media mingguan COVID-19 di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam)  Datuk Dr Chong Chee Kheong dan Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal, Institut kesihatan Negara (NIH) Dr Kalaiarasu M. Peariasamy.

Malaysia menerima 268,800 dos vaksin COVID-19 jenis AstraZeneca yang diperoleh melalui fasiliti COVAX pada Sabtu lepas.

Dr Kalairasu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pemilihan Calon Vaksin COVID-19 (JKKPCV) Kementerian Kesihatan berkata dari segi praklinikal, vaksin COVID Astrazeneca yang menggunakan platform viral vektor itu adalah baik untuk digunakan bagi mencegah COVID-19.

Menurutnya, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang dipengerusikan oleh Dr Adham dan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin telah memohon pendapat jawatankuasa panel diketuai oleh Dr Hishamshah berhubung penggunaan vaksin Astrazeneca itu.

Beliau berkata seramai 22 pakar daripada pelbagai disiplin telah menyertai panel tersebut dan tiga syarat ditetapkan dalam menentukan penggunaan vaksin AstraZeneca iaitu mampu kurangkan kemasukan ke hospital, kurangkan kemasukan ICU (unit rawatan rapi) dan risiko kematian akibat COVID-19.

Dr Kalairasu berkata setelah meneliti pelbagai jenis data, panel berpendapat yang vaksin Astrazeneca mendatangkan kebaikan dan kes pembekuan darah adalah kurang berlaku.

“Jika dibandingkan risiko dan kebaikan vaksin itu, vaksin berkenaan sesuai digunakan untuk golongan berusia 60 tahun ke atas,” katanya, serta menambah vaksin itu telah mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) pada 2 Mac lepas.

Dr Kalairasu berkata pihaknya akan meneliti data dari negara lain berhubung penggunaan vaksin Astrazeneca untuk golongan dewasa yang berusia 18 dan 40 tahun ke atas.

“Syor penggunaan vaksin Astrazeneca ini akan disesuaikan semula selepas kita teliti data-data yang ada,” katanya.

 

— BERNAMA