Datuk Arjunaidi Mohamed

SHAH ALAM – Seramai lebih kurang 13,700 pegawai dan anggota polis Ibu Pejabat Polis Kotinjen (IPK) Selangor akan digerakkan menjelang Aidilfitri untuk penguatkuasaan dan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kesemua anggotanya akan digerakkan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

“Kebenaran cuti pun kita hanya bagi sikit sahaja. Tidak kata bekukan, masih beri kebenaran cuti tapi sikit sahaja,” katanya kepada pemberita selepas Program Agihan Bubur Lambuk daripada Padiberas Nasional Berhad (Bernas) di Surau Khalid Al-Walid, IPK Selangor hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pematuhan SOP Aidilfitri akan dilaksanakan mengikut ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Untuk pemeriksaan pematuhan kita tengok kepada keadaan sudah tentu kita akan guna common sense, bila ramai kereta mesti ramai orang kita memang akan ada pasukan pemantau sepanjang tempoh hari raya.

“Bergantung kepada SOP yang akan ditetapkan oleh MKN nanti, tanggungjawab kita untuk pantau pematuhan. Tidak ada waktu terhad pemantauan,” ujarnya.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangkamengumumkan SOP Aidilfitri petang ini.-MalaysiaGazette