Kesemua cuti anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia dibekukan.

KUALA LUMPUR – Kesemua cuti pegawai dan anggota polis di seluruh negara akan dibekukan sebagai persiapan bagi penugasan musim perayaan yang bakal disambut pada bulan depan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata langkah itu bertujuan untuk memastikan kelancaran sambutan semasa musim perayaan.

“Kami akan laksanakan kawalan pergerakan seperti yang telah dilaksanakan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lepas walaupun tiada arahan PKP dikeluarkan.

“Sepertimana yang dilakukan pada tahun lepas, seramai 46,000 anggota yang telah ditugaskan dan 12,000 yang lain adalah berada dalam mod standby,” katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian Surat Penghargaan Tolak Rasuah PDRM di Bukit Aman di sini hari ini.

Abdul Hamid berkata polis juga memperketatkan sekatan jalan raya di setiap Plaza Tol pada Aidilfitri ini  bagi mengelakkan berlakunya rentas negeri.

–BERNAMA