Akim Ahmad kini kembali bergerak solo.

KUALA LUMPUR – Lima tahun mencipta magis bersama kumpulan Akim & The Majistret (ATM), vokalisnya, Akim Ahmad kini kembali bergerak solo.

Namun, ia tidak bermakna Akim, 30, atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad sudah meninggalkan kumpulan itu.

Sebaliknya, Akim yang terlebih dahulu mencipta nama sebagai seorang penyanyi solo selepas memenangi tempat ketiga dalam program realiti Akademi Fantasia musim ketujuh pada tahun 2009 hanya terbabit dalam sebuah projek lagu atau single solo.

Lagu berjudul Bayang hasil ciptaan Hang Nadim dan lirik oleh Hang Nadim, Bunga Cantik dan Arisz Ab Rahman itu memberi nafas baharu kepada muzik Akim, sekali gus menampilkan sisi berbeza Akim sepanjang 12 tahun pembabitannya sebagai anak seni.

Menurut Akim, Bayang adalah lagu yang cukup istimewa kerana ia adalah hasil cetusan idea dia bersama isteri tercinta juga penyanyi terkenal, Stacy.

“Lagu Bayang ini sangat berbeza dengan single saya sebelum ini. Ia boleh disifatkan evolusi saya sebagai seorang penyanyi. Dari segi bunyi dan muzik, ia juga berbeza dengan ATM. Muzik Bayang lebih mengenengahkan instrumen elektronik. Malah, ia sangat istimewa kerana merupakan hasil cetusan idea saya bersama dengan Stacy.

“Disebabkan lagu Bayang ini adalah projek solo, saya mahukan sesuatu yang baharu. Sebelum ini, saya pernah bergerak solo. Tapi kali ini saya nak tunjukkan sisi berbeza pula. Setelah lima tahun bersama ATM, mungkin peminat juga ingin melihat saya kembali sebagai Akim Ahmad, penyanyi solo.

“Jadi, inilah buah tangan terbaru untuk peminat yang rindukan Akim Ahmad. Dalam erti kata lain, lagu Bayang ini satu lagi evolusi muzik dan kerjaya saya,” katanya.

Akim Ahmad kini muncul dengan single solo berjudul Bayang.

Menurut Akim, lagu Bayang sudah lebih setahun disimpan sebelum dirakam dan seterusnya dilancarkan sebagai sebuah single solo.

“Lagu Bayang ini sudah ada dalam simpanan saya sejak setahun lalu iaitu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama lagi. Stacy yang mendengar lagu ini mencadangkan kepada saya untuk merakamkan lagu ini. Tapi, saya cakap nanti dulu.

“Stacy cakap lagu ini sangat sesuai dengan saya. Tapi, ketika itu saya belum dapat tangkap lagi melodi dan muzik lagu ini.

“Tidak sangka kebetulan ada projek terbaru daripada Nova Music yang memerlukan saya untuk merakam sebuah lagu secara solo. Lagu yang sesuai pun dah ada jadi saya ambil keputusan untuk terus merakam lagu Bayang. Ketika proses rakaman, Stacy yang menjaga vokal saya. Itu yang saya cakap, lagu ini antara kerjasama istimewa kami. Ada ‘sentimental value’”, katanya.

Berkongsi mengenai lagu Bayang yang baru sahaja dilancarkan minggu lalu, Akim berkata liriknya mengisahkan tentang kehidupan seharian.

Menariknya, lagu Bayang dipilih menjadi satu daripada lagu tema utama drama bersiri Sabarlah Duhai Hati terbitan Suhan Movies & Trading yang ditayangkan setiap hari Isnin – Jumaat di slot Akasia (7pm – 8pm) bermula 23 April lalu.

Lagu ini bakal diselang-selikan sebagai lagu latar ‘opening credits’ dan ‘ending credits’ drama tersebut.

“Lagu ini berkenaan kehidupan seharian kita di mana semua orang sentiasa hidup dengan bayang. Jadi kena sentiasa mengadu dengan pencipta kita. Apabila dalam keadaan gembira, sedih atau apa saja, kena sentiasa mengadu kepada pencipta. Selagi ada bayang, kena sentiasa jalankan tanggungjawab. Pendek kata, lagu ini memberi kekuatan untuk hidup,” katanya.

“Satu kelebihan buat lagu Bayang ini apabila ia dipilh untuk dimainkan pada ‘opening credits’ dan ‘ending credits’ drama itu. Malah, lirik lagu juga ditulis berdasarkan sinopsis drama itu,” katanya.

Akim & The Majistret masih wujud.

Ditanya status ATM, Akim berkata dia dan kumpulan itu akan terus aktif.

“ATM masih ada. Sekarang ini, kami dalam perancangan untuk mengumpul material bagi projek album. Perlukan waktu untuk cari material yang berkualiti. Tiada istilah ATM berhenti seketika. Baik saya muncul secara solo mahu pun bersama ATM, semua kena jalan,” katanya.

Lagu Bayang kini boleh distrim di semua pelantar muzik digital termasuk Spotify, Apple Music, Joox, KKBox, Deezer dan YouTube Music.

Video lirik rasmi lagu Bayang juga boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast