Dr. Mohd Radzi Jidin period menstruation checks physical Setapak school female students
Dr. Mohd Radzi Jidin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pergerakan pulang pelajar dari asrama dalam masa terdekat berikutan merentas negeri masih belum dibenarkan.

Menurut Menteri Pendidikan, Datuk Mohd Radzi Jidin, setelah SOP itu lengkap diperincikan barulah KPM memaklumkannya kepada ibu bapa.

“Mengenai pergerakan murid-murid asrama kembali ke rumah masing-masing, kita akan maklumkan satu SOP lengkap berkaitan perkara ini dan kita akan maklumkan dalam masa terdekat,” katanya ketika Sidang Media Khas Menteri Kanan (Pendidikan) hari ini.

Sementara itu, ketika disoal mengenai penggunaan telefon bimbit di asrama dan sekolah, Mohd Radzi berkata, hal tersebut dibenarkan dalam kes-kes tertentu secara terkawal.

Beliau turut memberi contoh semasa peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 di mana pelajar diberikan kebenaran untuk menggunakan telefon bimbit kerana tidak dapat pulang ke rumah dalam tempoh masa yang agak panjang.

“Dalam kes-kes tertentu seperti mana SPM sebelum ini, SPM 2020 mereka kembali ke asrama duduk di sana bagi satu tempoh yang lama dan tidak bertemu dengan ibu bapa. Ketika itu kita benarkan penggunaan telefon bimbit dalam konteks tersebut.

“Begitu juga di sekolah-sekolah, sekiranya berlaku jangkitan di sekolah tersebut, ada ibu bapa yang ingin mengetahui khabar anak-anak mereka, kita benarkan penggunaan telefon bimbit secara terkawal yang mana prosedurnya ditetapkan oleh sekolah,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Radzi turut mengulas secara lebih mendalam mengenai prosedur penutupan sekolah yang dikesan mempunyai kes positif Covid-19.

Jelas beliau, penutupan atau pelanjutan penutupan sesebuah sekolah adalah berdasarkan nasihat profesional yang diberikan Pusat Kesihatan Daerah (PKD).

“Ada dalam kalangan ibu bapa merasakan mengapa sekolah ini ditutup, sekolah lain tidak ditutup, sebab itu KPM ingin maklumkan bahawa mulai Ahad yang lalu kita keluarkan pekeliling bahawa jika berlaku kes positif di sekolah, maka sekolah itu akan ditutup secara automatik untuk tempoh dua hari.

“Ini kerana kita tidak mahu timbul kesangsian, seolah-olah kita cuba sorokkan ada kes positif, ia tidak benar.

“Pada hari pertama, pengetua atau guru besar bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan duduk dengan PKD untuk melihat sama ada tempoh penutupan itu perlu dilanjutkan, sekiranya PKD mendapati bahawa tempoh penutupan perlu dilanjutkan maka sekolah patuh dan PPD akan keluarkan arahan selanjutnya.

“Dua hari adalah untuk memberi ruang kepada pihak sekolah untuk duduk bersama dan lihat keadaan kerana setiap kes adalah berbeza. Ini kerana ada jangkitan yang berlaku di luar sekolah, libatkan murid sekolah tapi tak hadir ke sekolah untuk satu tempoh yang lama, bagaimana kita nak ambil kira kes seperti ini?

“Jadi dalam konteks ini PKD akan melihat dan meneliti apa yang berlaku seterusnya memberikan nasihat,” ujarnya. – MalaysiaGazette