KUALA LUMPUR – Biarpun Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyatakan kerajaan komited untuk melaksanakan kelayakan pengundi 18 (Undi18) tetapi Persatuan Pengundi Muda mahu penjelasan diberikan berkenaan garis masa yang lebih teliti.
Malah, mereka mahu agar sebarang kesulitan dalam pelaksanaan Rang Undang-Undang Undi18 dimaklumkan.
Di samping itu, persatuan itu turut menggesa kepada semua warganegara Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas agar melakukan pendaftaran sebagai pengundi dalam masa yang terdekat.
”Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, Malaysia mempunyai 4.4 juta rakyat yang masih belum berdaftar serta tidak mengambil peluang dalam memperjuangkan prinsip demokrasi di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Persatuan itu turut merakam ucapan ribuan terima kasih kepada Datuk Seri Reezal Merican, Menteri Belia dan Sukan yang telah menyokong dan memperjuangkan RUU Undi18 dalam mesyuarat Kabinet.
”Kami berterima kasih atas kesediaan pihak Yang Berhormat untuk berkolaborasi dan berunding dengan organisasi akar umbi belia demi membawa suara anak muda ke peringkat Kabinet,” tambahnya. – MalaysiaGazette