Takiyuddin Hassan emergency Covid-19 parliament sitting
Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Kerajaan amat komited untuk melaksanakan umur kelayaan pengundi 18 tahun sebagaimana pindaan kepada peruntukan Perkara 119, Perlembagaan Persekutuan yang dipersetujui sebulat suara di Parlimen secara dwipartisan pada tahun 2019.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pelaksanaannya akan diusahakan agar dapat dibuat dalam tempoh terdekat ini selepas perkara ini dibincang dan disahkan dalam Mesyuarat Kabinet semalam.

Susulan keputusan tersebut, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengambil langkah segera untuk menyelesaikan beberapa perkara lagi berkaitan peruntukan undang-undang tertentu dan juga perkara teknikal termasuk memperkemas kini sistem perisian yang diperlukan.

”Adalah jelas melalui ketetapan yang dibuat ini menunjukkan betapa kerajaan beriltizam untuk memberi peluang kepada golongan muda yang berumur tidak kurang 18 tahun menjadi pemilih dalam Pilihan Raya Umum ke-15 mahupun dalam mana-mana Pilihan Raya Kecil dan Pilihan Raya Negeri,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambahnya, kerajaan juga yakin SPR sentiasa bersiap sedia dengan pelbagai persiapan untuk menguruskan proses pilihan raya dari segi logistik, sumber manusia serta penyesuaian berhubung prosedur operasi standard selaras dengan norma baharu pengendalian pilihan raya ekoran penularan Covid-19 di negara ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast