Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee bersama Pengerusi Eksekutif Airasia Group, Datuk Kamarudin Meranun (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Airasia Group, Tan Sri Fernandes (kiri) bergambar sambil menunjukkan buah harumanis pada Majlis Flag Off: Airasia Farm Penghantaran Harumanis Ke Sabah di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA 2, Sepang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 30 APRIL 2021.

SEPANG – Kira-kira 50 peratus mangga Harumanis akan dijual secara dalam talian melalui platform e-dagang, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee.

Katanya, antara platform e-dagang itu ialah AirAsia Food, AirAsia Fresh dan Agrobazaar online.

“Untuk rekod, tahun ini, Jabatan Pertanian menyasarkan hasil pengeluaran sebanyak 3,336 tan metrik mangga Harumanis bernilai RM66.7 juta di Perlis,” katanya pada program pelepasan penghantaran mangga Harumanis ke Sabah buat pertama kali hari ini.

Penghantaran itu dilakukan menerusi jalinan kerjasama antara Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan airasia farm dengan menggunakan pesawat AirAsia.

Hadir pada majlis Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dan Pengurus Besar airasia farm, Lalitha Sivanaser.

Ronald berkata, kerjasama itu bukan sahaja akan memperluas pengedaran mangga Harumanis ke seluruh Malaysia tetapi juga membawa buah itu ke Sabah buat pertama kali pada skala besar.

Katanya, ia sejajar dengan penekanan kementerian tersebut terhadap sektor pertanian bernilai tinggi yang dapat mewujudkan peluang ekonomi untuk rakyat.

Menurut beliau, industri Harumanis akan meningkatkan pendapatan kepada 2,415 pengusahanya di Perlis, sekali gus memberi impak besar terhadap ekonomi serta industri hiliran berkaitan, agro-pelancongan dan rantaian bekalan di seluruh negara.

“Selain itu, saya percaya ia dapat mewujudkan banyak peluang pekerjaan terutama kepada golongan anak muda dan sekali gus meminimakan kadar pengangguran dalam negara,” tambah Ronald lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Setakat jual buah pelam bermusim mengurangkan pengangguran konon maka berlambak-lambak warga asing menjual buah-buahan sepanjang tahun.

Comments are closed.