Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof. Foto SHAFIY ZUL, 22 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Kenaikan tol di tiga lebuh raya yang sepatutnya bermula pada 1 Januari lalu ditangguhkan sehingga akhir tahun ini dalam usaha mengurangkan beban kos sara hidup yang terkesan daripada penularan Covid-19

Ketiga-tiga lebuh raya itu ialah Lebuh raya Shah Alam (Kesas), Lebuh raya Lembah Kelang Selatan (SKVE) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2).

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, keputusan penangguhan itu dicapai pada Mesyuarat Kabinet yang diadakan pada Rabu lalu.

“Prihatin terhadap peningkatan kos sara hidup rakyat kesan penularan wabak COVID-19, Kerajaan dalam Mesyuarat Kabinet pada Rabu, 28 April 2021, telah bersetuju untuk menangguhkan kenaikan kadar tol tahun 2021, mulai 1 Januari hingga 31 Disember 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, selain itu terdapat 21 lebuh raya dan satu plaza tol yang diteruskan penangguhan kenaikan kadar tol sebelum ini.

Antaranya lebuh raya terbabit ialah  Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Duta–Ulu Kelang (DUKE), Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dan Lebuhraya KL–Putrajaya (MEX).

Menurut Fadillah, berikutan penangguhan itu kerajaan perlu menanggung pampasan sebanyak RM2.25 bilion dan anggaran itu berdasarkan formula pengiraan yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi.

Jelasnya, jumlah sebenar bayaran pampasan tol akan ditentukan selepas proses verifikasi trafik dilakukan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia.

Fadillah berkata, rundingan untuk menstrukturkan semula kadar tol secara bersama dengan syarikat konsesi masih lagi berjalan dan  Kabinet bersetuju untuk memuktamadkannya  sebelum 2023. – MalaysiaGazette