Hamzah Zainudin

PUTRAJAYA – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin secara terbuka mengakui klip audio yang tular pada minggu ini adalah suaranya.

Hamzah berkata, rakaman panggilan telefon itu dibuat tahun lalu mengenai permintaan  pihak istana tentang jawatan ketua polis negeri.

“Saya rasa itu adalah suara yang benar oleh saya.

“Saya tidak melakukan apa-apa kesalahan cuma yang ambil rakaman itu melakukan kesalahan, saya tidak ada masalah,” katanya dalam sidang media khas di Kementerian Dalam Negeri, hari ini.

Dalam pada itu, Hamzah berkata sebagai Menteri Dalam Negeri, beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan dalam perbuatan itu.

“Yang saya lakukan tidak ada masalah, saya sudah cakap banyak kali. Kalau dengar pun, apa salahnya.

“Saya hanya meminta supaya KPN beri nama kepada YDPA, salah ke. Polis Diraja Malaysia,” katanya.

Hamzah menjawab pertanyaan media mengenai klip audio yang tular baru-baru ini mengenai kenaikan pangkat dan pertukaran jawatan dalam polis selain ada menyebut mengenai lantikan seseorang yang berasal dari Ipoh, Perak.

Sebelum ini, satu rakaman audio yang disunting bersama video berdurasi 1 minit 22 saat itu tular dan dikatakan suara dalam rakaman berkenaan mirip Hamzah.

Ditanya sama ada beliau akan membuat laporan polis berhubung penyebaran klip audio itu, Hamzah berkata langkah itu tidak perlu setakat ini.

“Saya Menteri Dalam Negeri, jadi saya boleh lakukan dengan beberapa cara yang lain. Siapa yang rakam itu yang kita nak tahu dahulu.

“Nak siasat apa lagi, saya dah mengaku. Polis tidak payah siasat, saya sudah mengaku suara saya.

“Cuma siapa yang rakam perbuatan itu. Macam mana nak buat, itu tidak payah tanya saya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette