TANPA kita sedar, sejak sebelum merdeka lagi negara ini telah menggunakan kaedah imunisasi dalam mencegah penularan sesuatu wabak atau virus.
Walaupun ada yang anti terhadap pengambilan vaksin, namun sejarah menunjukkan betapa vaksin telah banyak selamatkan nyawa penduduk dunia, termasuklah di Malaysia.
Hakikatnya memberi vaksin kepada rakyat kita bukanlah secara percuma. Ia memerlukan belanja yang amat besar dan berterusan.
Cumanya kerajaan negara kita telah mengambil keputusan untuk menanggung setiap kos melalui proses pembelian dan pemberian vaksin ini kepada rakyat.
Justeru tanpa rakyat sedar, kerajaan sudah banyak belanja untuk Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) sejak tahun 1950an lagi.
Jangan kita terkejut sekiranya fakta menunjukkan bahawa negara sudah membelanjakan wang sebanyak RM2.8 trilion sejak merdeka hanya semata-mata untuk diguna bagi tangani program imunisasi dan kos merawat benyakit berjangkit (infectious) dan komplikasi yang di alami.
Ini kerana, kos tersebut mungkin jauh lebih tinggi daripada angka tersebut. Kita tak masuk lagi kos-kos perbelanjaan peralatan, para petugas dan sebagainya.
Apatah lagi kita harus ingat, kos pada tahun 1960 sebagai contoh pasti tidak sama dengan kos di tahun 2010 atau 2020. Sudah pasti saban tahun kos-kos berkaitan akan meningkat sama ada kos barang, kepakaran atau perkhidmatan.
Jadi kita perlu juga mengikut sudut pandang hukum ekonomi dalam membuat tafsiran berkaitan kos yang dibelanjakan kerajaan untuk Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) ini.
Jika kita tidak membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk proses vaksinasi ini, kita terpaksa berhadapan dengan cabaran dan risiko penyakit-penyakit yang bahaya ini.
Seperti yang disebutkan oleh Menteri Kesihatan Dr Adham Baba baru-baru ini, imunisasi ini diambil untuk kita melawan wabak seperti TB/ Tetanus/ Diptheria/ Pertusis/ Smallpox/ Hepatitis B/ Polio/Influenza/ Pneumococcal/Papiloma Virus dan lain lain.
Beban negara akan jadi lebih besar untuk atasi kes-kes penyakit berjangkit dan kesan-kesannya jika tiada proses vaksinasi dilakukan lebih awal.
Dengan adanya proses vaksinasi ini, maka kita dapat lihat kes Polio sudah dapat di atasi, dapat kurangkan kes Epilepsy Coz By Tetanus, kurangkan kes TB, Sawan Gila Babi pun sudah kurang kedengaran dan lain-lain wabak penyakit.
Ini semua boleh dicapai apabila kerajaan negara kita telah peruntukkan anggaran kos yang besar untuk menggerakkan NIP.
Mereka yang mempertikai kos besar untuk proses vaksinasi mungkin tak tahu yang negara akan mengalami lebih besar masalah jika terpaksa mengurus penularan wabak penyakit-penyakit tersebut.
Lihat sendiri bagaimana kita sedang urus penularan pandemik COVID-19 sekarang. Berapa billion wang terpaksa dibelanjakan apabila sesuatu virus itu masih tiada ubat ditemui.
Sebab itu antara langkah yang diambil oleh Kementerian Kesihatan yang dipimpin Dr Adham Baba ini adalah dengan mempercepatkan proses membawa masuk vaksin COVID-19, hasil kerjasama dengan Menteri MOSTI Khairy Jamaluddin.
Inilah pentingnya vaksinasi dalam kehidupan kita seharian. Ia mungkin memakan belanja yang agak besar, namun ia satu kaedah paling berkesan saat ini untuk menghindarkan negara kita dari kerugian yang lebih besar.
Dalam masa sama bersyukurlah dengan apa yang kita dapat selama ini. Jika kita perasan, terlalu banyak perkara percuma di Malaysia ini.
Bak kata seorang warganegara Indonesia yang saya temui bekerja di negara ini, setakat perlu bayar RM40 untuk terima perkhidmatan di hospital kerajaan, ia seolah-olah percuma saja kalau nak dibandingkan dengan negaranya. Kos di Indonesia jauh lebih mahal.
Jadi tolong jangan sia-siakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kali ini kerana kerajaan telah membelanjakan lebih RM3 bilion hanya untuk memastikan negara kita dapat membentuk imuniti kelompok menjelang tahun 2022.
DR MUHAMMAD KELANTANI
Bandar Baru Bangi