Sidang media mengenai perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). Gambar: Ihsan MOSTI

KUALA LUMPUR – Seramai 563,350 individu telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) setakat Isnin.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, selain itu, seramai 905,683 individu telah menerima suntikan dos pertama.

Katanya, ia menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini berjumlah 1,469,033 dos.

Manakala, seramai 9,701,690 individu sudah mendaftar dengan nisbah populasi di atas 18 tahun adalah sebanyak 40 peratus.

“Status Fasa 2, jumlah keseluruhan yang berdaftar adalah 2,977,175 dan jumlah yang telah divaksinasi sejak 19 April adalah 203,871.

“Kini semua negeri telah pun menggerakkan Fasa 2 dengan jumlah 60 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam yang telah diaktifkan di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) hari ini.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba memberitahu, sebanyak 1,521 jumlah kematian dicatat pada minggu ke-17 dengan purata 14 kematian sehari.

“Untuk itu terdapat penambahan berbanding minggu ke-16 iaitu sebanyak 69.6 peratus kadar kematian, dan trend kematian mencatat kenaikan sejak minggu sebelumnya,” ujarnya.

Dr. Adham sebelum ini mengemukakan cadangan supaya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diadakan untuk enam negeri.

Menurutnya, negeri-negeri tersebut adalah Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor, Kedah dan Sarawak.

Jelasnya, cadangan itu dikemukakan bagi mengekang penyebaran wabak Covid-19 terutamanya bagi negeri-negeri yang mencatatkan angka yang tinggi.

Kata beliau, cadangan berkenaan dilakukan berikutan negara masih mencatatkan angka melebihi 3,000 untuk tempoh tiga hari berturut-turut kebelakangan ini dan tidak menunjukkan penurunan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast