Lim Guan Eng. PIX: IQBAL BASRI / MalaysiaGazette / 10 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Kelemahan terbesar mengenai undang-undang anti berita palsu seperti ini adalah amalan dua darjat apabila hanya digunakan terhadap pembangkang tetapi tidak terhadap penyokong pro-kerajaan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mendakwa kerajaan PN selalu menyalahkan rakyat tetapi enggan bertanggungjawab atas kegagalan yang tidak dapat dimaafkan dan ketidakmampuan yang memalukan mereka dalam membendung dan menguruskan gelombang ketiga jangkitan Covid-19.

“Adakah (Datuk Seri) Saifuddin (Abdullah) akan bertindak mengikut undang-undang anti berita palsu terhadap kontroversi terbaru di mana penjaja bazar Ramadan dijadikan kambing hitam dan dipersalahkan kerana menyebabkan peningkatan kes Covid-19 hanya bagi mengaut keuntungan yang berlebihan pada bulan puasa yang suci ini?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum itu, Guan Eng menganggap ucapan Saifuddin yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedi untuk memperingati Hari Kebebasan Akhbar Sedunia pada 3 Mei lalu di Facebooknya hanya sekadar satu isyarat kosong dan tidak bermakna ketika Malaysia tidak mempunyai apa-apa untuk diraikan.

Kerajaan PN terus menafikan sebab di sebalik Malaysia merosot 18 anak tangga dari No. 101 pada tahun 2020, bagi indeks tahunan kebebasan akhbar oleh Reporters Without Border (RSF) 2021 kepada No. 119, lebih rendah daripada Indonesia di No. 113.

Menurutnya, kedudukan Malaysia akan menjadi lebih buruk lagi jika perisytiharan Darurat yang menggantung Parlimen dan undang-undang baharu anti berita palsu diambil kira.

“Siasatan polis terhadap pembaca berita di Astro Awani kerana didakwa memfitnah polis di televisyen mengenai kontroversi kompaun RM50,000 yang dikeluarkan kepada beberapa peniaga kecil di Kelantan, dan penangkapan aktivis-artis sosial Fahmi Reza pada 23 April kerana satira, adalah dakwaan yang memalukan terhadap Hari Kebebasan Akhbar Sedunia.

“Tindakan sedemikian terhadap Awani hanya akan menghalangi pelaporan penyiasatan, yang meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti,” ujarnya.

Menurut Guan Eng, siasatan terhadap kartunis Zulkiflee Anwar Haque (Zunar) oleh ibu pejabat polis Padang Terap di Kedah mengenai kartunnya, yang menyindir Menteri Besar PAS Kedah kerana membatalkan cuti Thaipusam, boleh dianggap sebagai tindakan membungkam perbezaan pendapat.

Kementerian Dalam Negeri memanggil Malaysiakini dan China Press, atas laporan mereka mengenai kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani mengenai ancaman rogol yang dibuat terhadap seorang remaja, tidak menghormati kebebasan bersuara, dakwanya.- MalaysiaGazette