KWAN Wang Amanah Negara National Trust Fund Finance Minister, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz at a news conference at the Ministry of Finance (MOF), Putrajaya. PIX: AFFAN FAUZI / MalaysiaGazette / 26 APRIL 2021.
Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Fasa kedua Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) akan dibayar secara berperingkat-peringkat mulai 7 hingga 12 Mei ini.

Pembayaran ini melibatkan peruntukan sebanyak RM2.75 bilion kepada 3.7 juta isi rumah iaitu 1.0 juta warga emas (bujang/tiada pasangan) dan 3.8 juta individu bujang.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, bayaran kali ini meningkat berikutan penambahbaikan kadar bayaran kepada penerima.

”Jika dahulunya penerima dari kategori isi rumah menerima RM300 dan penerima bujang menerima RM150, kini pembayaran kepada penerima adalah di antara RM150 hingga RM600, berdasarkan kelayakan setiap penerima.

”Semakan status kelulusan BPR boleh dibuat mulai 7 Mei 2021 melalui pautan https://bpr.hasil.gov.my,” katanya dalam kenyataan di sini.

Penerima yang tidak mempunyai akaun bank termasuk di Sabah dan Sarawak, pembayaran 17 Mei itu akan dilakukan melalui cawangan Bank Simpanan Nasional.

Tengku Zafrul juga mengumumkan permohonan rayuan bagi BPR akan dibuka mulai 15 hingga 30 Jun 2021.

”Dengan adanya proses rayuan ini, sebahagian daripada mereka yang telah ditolak permohonannya masih diberi peluang untuk mengemukakan rayuan berserta dokumen yang berkaitan
untuk disemak semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia,” katanya.

Tambah beliau, mengambil kira pembayaran Fasa 1 dan Fasa 2 BPR, jumlah bantuan kewangan yang telah disalurkan kepada hampir 8.4 juta penerima BPR adalah sebanyak RM4.68 bilion.

Oleh itu, setakat Mei 2021, jumlah keseluruhan bantuan langsung kerajaan (merangkumi BPN2.0 dan BPR Fasa 1 dan 2) yang telah dan akan disalurkan kepada golongan B40 adalah bernilai RM6.59 bilion.

”Kerajaan sentiasa komited untuk memastikan bantuan yang diperuntukkan sampai kepada mereka yang disasarkan bagi menjamin kesejahteraan rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette