Suri rumah, Rosnah Abdul Walad, 56, bersama suaminya Zainal Abidin Mohd. Said, 57, menjaga anaknya Nabil Najmi Zainal Abidin, 25, yang mengidap Cerebral Palsy (CP) sejak bayi di rumahnya PPR Pinggiran Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 27 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Pada Ramadan tahun lalu kisah keluarga malang ini disiarkan di di portal MalaysiaGazette.

Kisah Rosnah Abd. Walad yang menjaga suami lumpuh sejak 14 tahun lalu dan anak cacat sejak lahir yang kini berusia 25 tahun mendapat perhatian pelbagai pihak.

Dia juga menguruskan suami, Zainal Abidin Mohd. Said, 57, yang hanya mampu berkerusi roda dalam menjalani kehidupan di rumah yang disewa mereka dengan bayaran RM124 sebulan di PPR Pinggiran Bukit Jalil di sini.

Sejak itu, wanita berusia 56 tahun itu dan keluarganya menerima pelbagai bantuan yang bertalu-talu sama ada daripada individu dan syarikat korporat.

Namun Ramadan tahun ini, ada khabar gembira. Rumah PPR yang didiami telah menjadi hak milik tetap dan mereka tidak perlu menyewa lagi.

Suri rumah, Rosnah Abdul Walad, 56, membersihkan anaknya, Nabil Najmi Zainal Abidin, 25, dengan kain basahan ketika di rumahnya PPR Pinggiran Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 27 APRIL 2021.

“Lepas artikel keluar, alhamdulillah bantuan tidak putus-putus. Saya pun tidak tahu hendak cakap apa lagi. Terima kasih rakyat Malaysia yang membantu sama ada saya kenal atau pun tidak.

“Pertama sekali saya ingin ucap terima kasih kepada kawan saya yang membawa MalaysiaGazette ke rumah untuk melihat keadaan kami.

“Terima kasih juga kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana rumah ini sudah diberi kepada kami tanpa perlu bayar sewa lagi.

“Sekurang-kurangnya dapat kami meringankan beban dan Insya-Allah semua sumbangan orang ramai akan diguna sebaik mungkin seperti membeli ubat, vitamin dan peralatan tertentu seperti terapi kaki dan alat gas oksigien untuk suami dan anak,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Suri rumah, Rosnah Abdul Walad, 56, di temubual sambil memegang sijil memiliki rumah PPR dan tidak perlu sewa lagi ketika di PPR Pinggiran Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 27 APRIL 2021.

Rosnah sebelum ini melalui rutin harian yang tabah apabila perlu memapah dan mengangkat suami dan anaknya untuk bergerak ke mana-mana yang cukup membuktikan pengorbanan luar biasa yang dimilikinya wanita ini.

Tanpa mengharapkan wang pencen, wanita yang memiliki dua cucu itu turut mencari pendapatan tambahan dengan mencuci rumah orang

Beliau yang membawa Nabil bersama dibayar sebanyak RM50 untuk melakukan kerja itu.

Ketika ini, Rosnah mendapat bantuan RM250 sebulan dan bantuan lampin pakai buang daripada Baitulmal selain bantuan OKU terlantar sebanyak RM500 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Suri rumah, Rosnah Abdul Walad, 56, mengucup anaknya, Nabil Najmi Zainal Abidin, 25, yang mengidap Cerebral Palsy (CP) sejak bayi di rumahnya PPR Pinggiran Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 28 APRIL 2021.

Sementara itu, dua anaknya sudah berkahwin dan tinggal di rumah sendiri namun mereka turut membantu untuk urusan pergi ke hospital jika keadaan memerlukan.

Rosnah menambah, beliau dan keluarga terharu dengan keprihatinan TNB apabila wakilnya menjadi individu pertama yang datang melawat selepas artikel keluarganya menjadi tular.

Kata beliau, walaupun individu itu tidak menjanjikan bulan dan bintang untuk rumah sewanya menjadi hak milik tetap namun mereka sekeluarga menerima kejutan pada akhir tahun lalu.

“Ada wakil TNB yang telefon dan datang tengok keadaan tapi beliau tidak berjanji dan cuba membantu dan menasihati kami jangan mengharap.

“Namun hujung tahun lalu, saya dapat panggilan dari DBKL yang mengatakan TNB sudah bayar.

“Kami bersyukur sangat dan ketika ini hanya menunggu untuk memuktamad beberapa borang yang perlu ditandatangani bersama peguam untuk diserah menjadi hak milik,” katanya.

Saiz kaki Nabil Najmi Zainal Abidin, 25, yang mengidap Cerebral Palsy (CP) sejak bayi membuatkan beliau tidak boleh berjalan ketika ditemui di rumahnya PPR Pinggiran Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 27 APRIL 2021.

Mengakhiri perbualan, Rosnah tidak putus-putus mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penyumbang termasuk TNB dan DBKL yang merealisasikan impian mereka sekeluarga untuk memiliki rumah sendiri tanpa perlu membayar sewa lagi.

“Terima kasih TNB, DBKL dan Kementerian Wilayah Persekutuan serta semua yang terlibat dalam sumbangan rumah ini.

“Semoga Allah SWT yang dapat membalas balas jasa baik mereka dam penyumbang yang prihatin dan setiap doa saya dalam solat untuk mereka semua,” katanya.

Sementara itu, mereka yang ingin bertanya khabar atau memberi sumbangan kepada Rosnah dan keluarga, boleh menghubunginya talian 011-10028921.

Sumbangan juga boleh disalurkan kepada akaun Bank Simpanan Nasional (Akaun Bersama Rosnah dan Nabil Najmil) – 1011441100002557. – MalaysiaGazette

Suri rumah, Rosnah Abdul Walad, 56, bersama suaminya Zainal Abidin Mohd. Said, 57, menjaga anaknya Nabil Najmi Zainal Abidin, 25, yang mengidap Cerebral Palsy (CP) sejak bayi di rumahnya PPR Pinggiran Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 27 APRIL 2021.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast