Sohaimi (tengah) menyampaikan beg terompah kepada kariah pada majlis pelancaran Projek Waqaf Terompah Masjid di Kundang, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Yayasan Jamin menyasarkan 10,000 pasang terompah diwaqaf kepada masjid-masjid di seluruh negara.

Penaungnya, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, menerusi Projek Waqaf Terompah Masjid, ia memberi peluang kepada umat Islam menyemai saham akhirat di samping memberi keselesaan kepada jemaah masjid menggunakan terompah untuk berwuduk atau pun beristinjak.

“Alhamdulillah, hari ini Yayasan Jamin berjaya dan dapat memulakan Projek Waqaf Terompah Masjid ke masjid-masjid.

“Saya mulakan dulu di Kundang, Kuang ini dengan 1,000 pasang terompah ke seluruh masjid di sini, juga di sekitar Sungai Buloh.

“Sambutan setakat ini hangat, kawan-kawan dan beberapa pertubuhan NGO, persatuan masyarakat menunjukkan minat. Ada 9,000 pasang terompah lagi akan diedarkan di masjid-masjid seluruh negara.

“Saya menyasarkan 10,000 pasang terompah dalam masa tiga bulan ini untuk kita sumbangkan, Insya-Allah,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Projek Waqaf Terompah Masjid di Kundang, baru-baru ini.

Ditanya kenapa terompah menjadi pilihan untuk projek waqaf, Sohaimi menjelaskan, idea itu tercetus ketika beliau menyaksikan seorang warga emas tergelincir ketika hendak mengambil wuduk di masjid.

“Kebanyakan selipar yang terdapat di masjid cepat haus dan licin. Berbahaya kepada jemaah, boleh mendatangkan kecederaan.

“Sejak melihat seorang pakcik tergelincir, kesian dia menahan kesakitan. Mujur tak ada yang patah. Masa itulah tercetus idea apa salahnya saya buat projek waqaf terompah. Tahan lama, berkualiti dan tidak licin, selamat digunakan.

“Lagi satu ia unik, seni warisan kita dan dapat mengelak terompah ini cepat pupus. Kali ini kita cuba kelainan pula, kita buat terompah sebagai projek waqaf,” katanya.

Justeru, Sohaimi menyeru kepada sesiapa yang berminat untuk mencari saham akhirat bolehlah menyumbang kepada projek waqaf terompah ini.

“Tak mahal pun, RM30 sepasang, kalau satu masjid dapat 10 pasang baru RM300. Mana yang berkemampuan dan rezeki terlebih tu, apa salahnya menyumbang, pahala dapat, dan saham akhirat pun boleh dapat.

“Yang nak menyumbang dan terlibat projek waqaf terompah ini boleh berhubung dengan Yayasan Jamin atau terus menyumbang ke akaun Maybank 562740161099 atas nama Jamin Art Centre dan rujukan terompah,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast