Orang ramai memenuhi Bazar Ramadan Jalan Raja Alang selepas diarahkan tutup selama dua hari bermula 1 Mei berikutan ancaman penyebaran jangkitan Covid-19 yang telah dikesan di bazar ini ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 30 APRIL 2021.

KEBELAKANGAN ini, kecoh di berita-berita tempatan mahupun antarabangsa tentang tsunami COVID-19 yang sedang melanda negara India sejak Mac lalu. Kes harian sahaja setakat 1 Mei 2021 mencecah sehingga lebih 400,000 kes, menjadikan India negara pertama untuk mencapai jumlah kes harian sebanyak ini sejak pandemik ini bermula. Kadar kematian pula mencecah 3,523 menjadikan jumlah kematian sebanyak 211,853. Namun, ramai pakar mengganggap jumlah kes harian dan kadar kematian harian sebenarnya lebih tinggi. Ini adalah disebabkan oleh ujian saringan COVID-19 yang dijalankan adalah tidak mencukupi dan dokumentasi sebab kematian yang tidak tepat.

Tsunami COVID-19 ini telah memberikan kesan yang sangat teruk kepada sistem kesihatan negara India. Sistem kesihatan mereka kini lumpuh dan memerlukan penyelesaian secepat mungkin bagi mengurangkan kadar jangkitan dan kematian. Ketika ini, India sedang bergelut dengan kekurangan bekalan oksigen dan ubat-ubatan untuk rawatan pesakit COVID-19. Lebih parah lagi, bekalan vaksin untuk diberikan kepada rakyat mereka sendiri tidak mencukupi. Sungguh ironi kerana umum mengetahui bahawa India sebelum ini digelar ‘farmasi dunia’ di mana mereka adalah pengeluar terbesar vaksin di dunia dan merupakan pembekal vaksin kepada 92 buah negara. Bukan itu sahaja, hospital-hospital di sana juga tidak mempunyai katil dan kakitangan yang mencukupi sehingga terpaksa menolak ratusan sehingga ribuan pesakit yang memerlukan rawatan saban hari.

Tidak cukup dengan itu, mereka turut diuji dengan ketidakcukupan kit-kit saringan dan peralatan perlindungan diri (PPE). Lebih menyedihkan, mereka juga terpaksa membakar mayat-mayat pesakit COVID-19 di jalanan disebabkan oleh rumah mayat yang tidak dapat menampung pengurusan kematian yang bertambah secara mendadak. Apakah sebenarnya yang terjadi di India? Awal tahun ini sahaja, India telah merekodkan penurunan kes kurang dari 10,000 kes sehari. Namun begitu, bermula Mac, kes-kes harian mula meningkat saban hari. Persoalan penting disini adalah, adakah Malaysia bakal menjadi seperti India? Pada pendapat kami, ianya tidak mustahil tetapi ianya mungkin terjadi dalam skala atau ‘magnitude’ yang berbeza. Mari kita lihat apakah isu-isu yang berkemungkinan menyumbang kepada peningkatan drastik dalam kes harian di India dan kita bandingkan dengan situasi di negara kita.

Pertama sekali, apabila kes harian di India menunjukkan trend menurun, pihak berkuasa di sana mula melonggarkan halangan-halangan yang sebelum ini dikenakan oleh kerajaan. Kelonggaran SOP ini sebenarnya dianggap terlalu awal dan sepatutnya penilaian risiko dilakukan dengan lebih mendalam . Upacara keagamaan “Kumbh Mela” yang melibatkan berjuta penganut agama Hindu dikenalpasti sebagai salah satu punca jangkitan yang tidak terkawal. Ketidakpatuhan kepada penjarakan sosial juga berlaku dalam pelbagai perhimpunan politik yang diadakan di beberapa buah negeri di India. Kemunculan varian COVID-19 yang mudah merebak dengan mutasi berganda (B.1.617.1), memberikan komplikasi yang lebih teruk kepada pesakit yang dijangkiti.

Program imunisasi kebangsaan India yang perlahan juga menyumbang kepada peningkatan kes harian di India. Sehingga kini, hanya lebih sedikit dari 1% dari populasi yang telah menyempurnakan dos vaksin meskipun India pengeluar vaksin terbesar di dunia. Kepatuhan kepada pemakaian pelitup muka yang rendah juga menyumbang kepada kenaikan kes di India. Jadi, kita dapat lihat banyak isu yang sebenarnya boleh kita bandingkan dengan situasi di Malaysia. Malaysia telah melalui beberapa fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu. Sedar atau tidak, sudah lebih setahun usia perjuangan kita dalam menangani jangkitan COVID-19. Kita pernah berjaya mencapai sehingga sifar kes dalam sehari dan kita juga pernah mencatatkan kes harian tertinggi sebanyak 5,725 kes pada Januari tahun ini.

Ekoran itu, kerajaan telah melaksanakan PKP 2.0 dan kes mula menunjukkan trend menurun. Namun, isu yang membimbangkan ketika ini adalah peningkatan semula kes semenjak 2 minggu lepas. Adakah Malaysia bakal menjadi seperti India? Di mana silapnya kita? Seperti di India, Malaysia juga mula membuka hampir kesemua sektor. Perhimpunan sosial seperti majlis perkahwinan dan majlis pengebumian juga dibenarkan dengan syarat mengurangkan operasi kapasiti. Tempat-tempat awam seperti bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri turut dibuka. Sekolah dan masjid juga dibuka seperti biasa. Namun, amat mendukacitakan apabila kita dapat lihat kesesakan yang luar biasa di bazaar-bazaar ini tanpa menghiraukan SOP sedia ada. Tiada penjarakan sosial dan masih ada yang tidak memakai pelitup muka dengan betul.

Ini bukan sahaja berlaku di bazaar, tetapi perkara yang sama berlaku di majlis-majlis perkahwinan dan perhimpunan-perhimpunan sosial yang lain. Tetamu kelihatan berhimpit-berhimpit dan jelas SOP diabaikan. Tambahan pula, pada bulan Ramadan ini, masih ramai jemaah-jemaah di masjid yang tidak mengenakan pelitup muka dengan sempurna semasa sembahyang. Ini tidak sepatutnya berlaku kerana kerajaan telah berkali-kali mengingatkan bahawa kepatuhan kepada SOP amat penting bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.Yang menjadi permasalahan di sini adalah apabila ada sesetengah pihak yang diberikan kelonggaran dan pengecualian dari pihak berkuasa untuk merentas negeri dan menjalankan aktiviti keramaian. Polisi yang sering berubah-ubah turut mengeruhkan lagi keadaan. Selain itu, ada juga segelintir rakyat yang menuduh kerajaan memanipulasi data bagi kepentingan politik dan ada juga yang masih tidak mahu menerima vaksin.

Sikap masyarakat sebegini sebenarnya membantutkan lagi usaha kerajaan untuk membendung penularan COVID-19. Pada 2 Mei 2021, Menteri Kesihatan, Dato’ Sri Dr Adham Baba mengumumkan bahawa sudah terdapat kes pertama kemasukan varian COVID-19 dari India, B.1.617.1 yang dikesan menerusi warga India yang tiba di KLIA. Virus ini pada mulanya dikesan di India pada 27 April lalu dan didapati telah menular di sekurang-kurangnya 17 negara di seluruh dunia. Melihat kepada isu-isu di atas, hakikatnya sistem kesihatan Malaysia sebenarnya turut terkesan. Tan Sri Dato’ Seri Dr Hisham Abdullah memberitahu bahawa di hospital-hospital di Lembah Klang sahaja, kadar penggunaan katil di ICU sudah mencapai lebih 88% setakat 1 Mei 2021. Kakitangan KKM juga semakin merasai beban kerja yang sangat tinggi dan menjangkaui kemampuan mereka. Di tambah pula dengan rakyat yang kini mengalami ‘kelesuan pandemik’, di mana mereka mula menjadi letih dan berfikir bilakah pandemik ini akan berakhir.

Hal ini berlaku rentetan fasa-fasa PKP yang dilaksanakan sejak tahun lalu. Akhirnya, rakyat mula merasa kebal dan tidak bersemangat untuk sama-sama membendung COVID-19 berbanding dengan fasa awal wabak ini. Jadi sebenarnya, tidak mustahil untuk sistem kesihatan Malaysia lumpuh seperti mana yang berlaku di India sekarang.
Kesimpulannya, perjuangan memerangi COVID-19 masih belum berakhir. Kita tidak boleh memandang ringan tentang bahayanya jangkitan virus ini. Suka untuk kami tegaskan bahawa virus ini tidak mengenal sesiapa, sesiapa sahaja dari setiap lapisan umur dan pangkat boleh dijangkiti. Mungkin ramai yang masih bersikap sambil lewa
kerana mereka tidak pernah mengalami sendiri peritnya jangkitan ini kerana ‘sudah terhantuk baru tengadah’. Pada hemat kami juga, kerajaan perlu lebih proaktif dalam menerapkan lagi kesedaran dalam masyarakat tentang pentingnya mematuhi SOP.

Komunikasi antara rakyat dan pemimpin adalah sangat penting bagi menambahbaik lagi usaha kerajaan dalam membendung penularan wabak ini. SOP sedia ada adalah sudah memadai, rakyat hanya perlu patuh dengan sebaiknya. Kerajaan juga boleh mempertimbangkan untuk berkongsi dengan rakyat apakah definisi sebenar kejayaan atau kegagalan dalam pelaksanaan sesuatu polisi. Ini mungkin boleh membantu menaikkan semangat rakyat untuk sama-sama mematuhi SOP demi mencapai standard kejayaan itu. Paling penting sekali, pihak berkuasa haruslah berintegriti dan telus dalam menguatkuasakan SOP dan undang-undang.

Akhir sekali, kita harus belajar dari India dan memastikan kesilapan yang dilakukan mereka tidak berlaku di Malaysia. Sokongan padu kepada usaha-usaha kerajaan Malaysia untuk membendung penularan seterusnya melenyapkan COVID-19 dari dunia amat diperlukan. Pandemik ini belum berakhir dan kita masih belum menang!

Penulis: Prof Madya Dr. Mohd Dzulkhairi Mohd Rani
Pakar Perubatan Kesihatan Awam
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
Universiti Sains Islam Malaysia
&

Dr. Wan Nur Ira Izyan Wan Izani
Graduan Perubatan
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
Universiti Sains Islam Malaysia