Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz semasa melancarkan Jaringan Prihatin hari ini. foto MoF

KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini melancarkan program Jaringan Prihatin bernilai RM3.5 bilion yang bakal dimanfaatkan 8.5 juta rakyat dalam kalangan penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) bagi memiliki alat peranti telefon pintar.

Program ini juga merupakan merupakan pelengkap kepada inisiatif MyDigital yang diumumkan pada Februari 2021.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melancarkan program ini secara maya sebentar tadi berkata, melalui program itu, golongan sasar juga dijangka mampu menikmati bantuan pelan jalur lebar (broadband) Internet.

Daripada RM3.5 bilion itu, sebanyak RM2 bilion dibelanjakan kerajaan,manakala syarikat telekomunikasi dan penyedia perkhidmatan pula memberikan sumbangan tambahan berjumlah RM1.5 bilion, terutama dalam bentuk data percuma,” katanya.

Jelas beliau lagi, Malaysia akan terus komited memantapkan kesalinghubungan di negara ini, sejajar matlamat minimum 75 peratus kesalinghubungan disarankan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Ia adalah dengan kos jalur lebar tidak melebihi dua peratus daripada pendapatan negara kasar (PNK) per kapita bulanan menjelang 2025,” ujarnya.

Jaringan Prihatin adalah kerjasama antara Kementerian Kewangan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta dua belas (12) syarikat telekomunikasi di Malaysia, iaitu Celcom, Digi, Maxis, Mcalls, redONE, speakOUT, Tune Talk, U Mobile, unifi Mobile, XOX Mobile, YES dan Yoodo.

Pendaftaran untuk Jaringan Prihatin akan dibuka daripada 5 Mei 2021 hingga 31 Julai 2021 dengan penerima yang layak boleh mendaftar dengan syarikat telekomunikasi pilihan mereka dan menyertai mana-mana pelan yang diiktiraf di bawah program ini.

Program ini telah diumumkan di dalam Belanjawan 2021 dengan peruntukan asal RM1.5
bilion.

Mengambil kira jumlah keluarga B40 yang mempunyai anak, terutamanya yang
bersekolah, RM500 juta telah ditambah di bawah pakej bantuan PEMERKASA yang
diumumkan Mac lalu, menjadikan nilainya RM2.0 bilion.

Selain itu, syarikat-syarikat telekomunikasi juga menawarkan faedah tambahan bernilai RM1.5 bilion, menjmenjadikan faedah keseluruhan berjumlah RM3.5 bilion kepada penerima-penerima BPR. – MalaysiaGazette