KUALA LUMPUR – Kerajaan telah menubuhkan Majlis Tindakan Kemakmuran Bersama (MTKB) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan mesyuarat pertama majlis telah diadakan semalam.
MTKB berperanan menentukan dasar dan strategi pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
Ini termasuk menetapkan sasaran, indikator makro dan KPI bagi sektor-sektor penting dalam pembangunan negara yang akan dirangka secara inklusif dan menyeluruh bagi mencapai objektif WKB 2030.
Penubuhan MTKB itu dimaklumkan dalam satu kenyataan Pejabat Perdana Menteri pagi ini
Menurut kenyataan itu, keahlian MTKB terdiri daripada 21 orang menteri, empat ketua jabatan, dua ketua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLC), tiga wakil Dewan Perniagaan Melayu, Cina dan India serta tokoh-tokoh dalam pelbagai sektor ekonomi, pendidikan dan sosial.
Antara tokoh-tokoh tersebut termasuklah Tan Sri Sulaiman Mahboob, Tan Sri Azman Mokhtar, Datin Paduka Dr Aini Ideris, Datuk Dr. Asma Ismail, Datuk Dr. Madeline Berma dan Prof. Datuk Dr. Denison Jayasooria.
Turut diwujudkan Jawatankuasa Eksekutif Kemakmuran Bersama (JEKB) yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md Yusof.
Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU), Jabatan Perdana Menteri akan bertindak sebagai sekretariat MTKB. – MalaysiaGazette















