Pemangku Ketua Polis Daerah Serdang Superintendan Mohd Rosdi Daud menunjukkan ketum yang dirampas pada sidang media Tangkapan dan Rampasan Ketum di IPD Serdang, Serdang. Foto HAFIZ SOHAIMI, 05 MEI 2021.

SERI KEMBANGAN – Dua lelaki yang sedang leka memasak air ketum dalam periuk besar di sebuah premis rumah kedai dua tingkat di Taman Lestari Perdana, Seri Kembangan ditahan dalam satu serbuan polis Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Mohd Rosdi Daud berkata, dalam operasi 10 malam itu, polis turut menemui 190 botol plastik mineral yang diisi dengan air ketum yang sudah siap dimasak.

Menurutnya, rampasan itu dianggarkan sejumlah 285 liter atau 294.5 kilogram (kg) dan merampas dua periuk besar mengandungi daun ketum dalam keadaan basah seberat 20 kg.

Air ketum yang dimasukkan dalam botol dirampas dalam satu operasi oleh IPD Serdang, Serdang pada Isnin lalu. Foto HAFIZ SOHAIMI, 05 MEI 2021.

Tambah beliau kedua-dua suspek berusia awal 23 dan 32 tahun itu telah ditahan reman selama empat hari sehingga 7 Mei ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Kedua-dua suspek itu masing-masing mempunyai satu rekod kesalahan jenayah di bawah Akta Racun dan Akta Dadah.

Suspek pertama berusia 23 tahun itu pernah ditangkap atas kesalahan memasak ketum pada tahun 2019.

Rampasan air ketum dan peralatan yang dipamerkan kepada media ketika sidang media Tangkapan dan Rampasan Ketum di IPD Serdang, Serdang. Foto HAFIZ SOHAIMI, 05 MEI 2021.

Namun, ujian saringan air kencing didapati negatif dadah.

Mohd Rosdi berkata, nilai rampasan daun ketum ini dianggarkan RM3,800 dengan mengambil kira harga sebotol air ketum dijual pada harga RM20 kepada pelanggan tetap mereka di sekitar Lembah Klang.

Kedua-dua suspek juga mengaku aktif memproses air ketum sejak dua bulan lalu, mendapat bekalan dari utara Semenanjung dan menerima bekalan menggunakan khidmat bas ekspres.

Menurut beliau, polis sedang menyiasat lebih lanjut mengenmai kemungkinan penglibatan suspek lain dalam kes ini.- MalaysiaGazette