Lagu Raya Raya Raya adalah ciptaan bersama beberapa orang komposer dan penulis lirik yang professional iaitu Kalerj, Ajay Amai, Mike Chan, Glow Rush, Nick Arif, Acap Salim dan Somean K-Clique.

KUALA LUMPUR – Dolla sebelum ini pernah mendapat perhatian peminat muzik tanah air apabila muncul dengan single pertama, Dolla Make You Wanna dan single kedua Impikan.

Kini kumpulan itu terus meningkatkan populariti mereka apabila kembali mempertaruhkan bakat mereka dengan sebuah lagu raya yang diberi judul Raya Raya Raya.

Masih mengekalkan konsep genre pop yang dibawa oleh mereka dan malah disulam dengan irama tradisional, Raya Raya Raya merupakan lagu raya pertama yang dinyanyikan oleh artis wanita berkumpulan itu.

Lagu ciptaan bersama oleh beberapa orang komposer dan penulis lirik yang professional iaitu Kalerj, Ajay Amai, Mike Chan, Glow Rush, Nick Arif, Acap Salim dan Somean K-Clique ini dilihat dapat memperlihatkan lagi bakat Dolla yang bukan sahaja mampu menyanyikan lagu pop yang rancak malah lagu yang mempunyai unsur tradisional.

Dolla yang dianggotai oleh Sabronzo, Angel, Tabby dan Syasya ini telah membuktikan mereka berani bereksperimen dan mampu membawa genre yang berbeza dari sebelumnya sekaligus mengukuhkan lagi kedudukan mereka dalam industri hiburan Malaysia.

Secara umumnya, Raya Raya Raya terbitan Universal Music Malaysia ini menyentuh mengenai percanggahan gaya tradisional dan moden untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri di mana perkembangan teknologi yang pesat telah mempengaruhi bagaimana mereka menyambut Hari Raya Aidilfitri pada masa kini terutamanya bagaimana alat dan platform media sosial yang signifikan mempengaruhi interaksi antara keluarga dan rakan.

“Ia mengambil masa lebih kurang lapan jam untuk merakamkan lagu tersebut dan memakan masa seharian untuk sesi rakaman video muzik pula. Pengalaman merakamkan video muzik sangat menyeronokkan kerana kita semua berpakaian seperti di era retro. Tidak ketinggalan, tenaga positif yang wujud di antara warga kerja juga benar-benar membantu.

“Ia amat mudah bekerja bersama mereka kerana mereka seniasa memberikan bimbingan dan tunjuk ajar. Oleh kerana kami adalah empat gadis dengan gaya dan idea nyanyian yang sangat berbeza, mereka sangat terbuka dalam menerima segala jenis perubahan atau cadangan” kata Sabronzo.

Salah seorang anggota Dolla iaitu Tabby pula berpendapat bahawa Raya Raya Raya adalah sesuatu yang berbeza, tetapi masih terasa seperti biasa didengari.

Ia mempunyai vibe lagu raya yang biasa tetapi mempunyai sentuhan karakter Dolla yang kuat dan mempunyai elemen-elemen yang menyeronokkan.

“Proses rakaman berjalan dengan lancar dan mudah bersama Faithful Music. Penuh dengan gelak tawa dan mereka amat membantu kami dalam mengekalkan kekuatan Dolla  di dalam lagu ini kerana pada mulanya, terasa asing kerana ianya bukan genre yang kami biasa bawakan sebelum ini. Tetapi amat menyerenokkan untuk bereksperimen,” jelas Tabby.

Angelina Chai atau Angel yang berasal daripada Sarawak pula berpendapat Raya Raya Raya menunjukkan sisi lain DOLLA, yang lebih ke arah tradisional tetapi masih lagi lagi terasa muda.

Angel juga merasakan bahawa lagu ini berbeza dari lagu-lagu raya yang lain dan Dolla menggambarkan bagaimana jika artis berkumpulan wanita menyanyikan lagu bagi menyambut perayaan Aidilfitri.

“Proses rakaman lagu ini amat menyeronokkan kerana ia membuatkan perayaan itu terasa semakin dekat kepada seseorang yang tidak pernah menyambut perayaan Aidilfitri. Ia memberikan saya gambaran perasaan menyambut hari raya Aidilfitri dan sebenarnya ia amat menyeronokkan,” katanya.

Bercerita mengenai sewaktu proses rakaman video muzik lagu Raya Raya Raya, Angel menyatakan ia berbeza daripada apa yang pernah Dolla lakukan sebelum ini.

“Dolla masih lagi menari, tetapi lebih kepada menghayati lagu dan ianya mempunyai jalan cerita di mana merupakan sesuatu yang baharu bagi mereka. Dia juga mengharapkan video muzik seterusnya akan lebih menekankan konsep yang mempunyai jalan cerita.

“Saya berharap pendengar akan suka dengan lagu raya yang pertama Dolla pernah buat. Ia sangat catchy dan membawakan kegembiraan untuk menyambut hari raya Aidilfitri walaupun kita masih dalam kekangan wabak Covid-19”, tambah Angel lagi.

Sementara itu, Raya Raya Raya telahdilancarkan di kesemua pelantar penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music dan video muziknya juga boleh ditonton di saluran YouTube DOLLA. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast